Kebimbangan dizahirkan Sultan Pahang, perlu perhatian serius kerajaan
August 5, 2024
KUANTAN: Kebimbangan yang dizahirkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan tanah di Pahang yang diterokai tanpa rasa takut dan ditakluk oleh pendatang asing secara terang-terangan amat wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penerokaan tanah secara haram terutamanya oleh pendatang asing bukan sahaja merugikan sumber negeri tetapi ia turut menimbulkan masalah kelestarian alam dan juga keselamatan orang ramai.
“Saya amat bersetuju dan berterima kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku yang sememangnya tidak asing lagi dengan kecaknaan Tuanku terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita harus belajar dari kejadian yang merugikan negeri dan nyawa rakyat, seperti kejadian yang menimpa lima warga Myanmar, juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang maut dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands pada awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penjajahan tanah secara haram seperti yang diluahkan Baginda, turut diakui oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Wan Rosdy.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, harus diakui walaupun kerajaan cuba bertindak tegas, namun realiti penguatkuasaan bagi membanteras pecerobohan tanah serta curi hasil masih berada pada tahap yang lemah.
“Masalah ini semakin membarah apabila integriti sesetengah pihak amat merisaukan. Mereka sanggup menggadaikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Pahang demi merebut keuntungan untuk diri sendiri.
“Kita tidak mahu angka 160,000 hektar tanah kerajaan yang dilaporkan diterokai di seluruh Pahang makin meningkat. Justeru, kerajaan negeri harus menambah baik penguatkuasaan dengan menambah kakitangan.
“Kerajaan juga boleh memaksimumkan sumber tenaga manusia yang sedia ada dengan mengadakan kerjasama strategik antara beberapa agensi untuk memantau kegiataan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, rakyat juga perlu diberi kesedaran tentang perlunya ada jati diri dan integriti yang tinggi.
“Semestinya Dato Sri Menteri Besar Pahang serta kepimpinan negeri perlu menjadi contoh agar ia menjadi teladan kepada rakyat keseluruhannya.
“Saya turut menyeru kepada rakyat Pahang agar bersama-sama dalam memastikan tanah dan sumber bumi negeri Pahang ini tidak diambil dan dikawal oleh ‘orang asing’.
“Kita tidak mahu merosakkan ekonomi negeri serta negara melalui kawalan dan pemilikan oleh penceroboh asing dan penceroboh haram ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan