Kenakan hukuman lebih berat
Oleh Yulpisman Haji Asli
16 Ogos 2024, 8:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SEMALAM, Utusan Malaysia mendedahkan, lebih 46,000 kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan dalam tempoh kurang enam tahun lalu.
Ia berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari 2019 hingga Mei lalu. Berdasarkan laporan itu, tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11,336 atau 23.34 peratus daripada keseluruhan kes.
Pendedahan itu sesuatu yang mengejutkan dan sangat membimbangkan. Ini belum mengambil kira pemandu yang tiada lesen, tetapi masih jadi ‘raja’ di jalan raya. Nampaknya, pengguna di negara kita berdepan risiko sangat besar setiap kali berada di jalan raya.
Sebagaimana ditegaskan oleh Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), kenderaan yang tidak mempunyai polisi insurans membawa risiko besar di jalan raya terutama apabila berlaku kemalangan dan melibatkan pengguna lain.
Di sebalik pelbagai penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa sama ada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hakikatnya, masih terdapat ribuan pemandu yang memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan. Sedangkan, tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan, tidak ada kenderaan yang dibenarkan berada di jalan raya. Ia adalah satu kesalahan yang besar.
Realitinya, hampir saban hari media melaporkan kemalangan jalan raya melibatkan pelbagai jenis kenderaan. Banyak kemalangan maut melibatkan terutama kenderaan berat turut dilaporkan.
Apabila polis menjalankan siasatan, didapati pemandu terlibat mempunyai kesalahan lampau, lesen tamat tempoh, tiada cukai jalan dan lain-lain lagi.
Pemandu terbabit diheret ke mahkamah. Sabit kesalahan, dia dijatuhi hukuman penjara. Namun, sejauh mana hukuman itu adil untuk keluarga pengguna yang maut dalam kemalangan tersebut?
Bagaimana jika yang maut bukan seorang, tetapi satu keluarga? Dalam banyak kes pula, pemandu kenderaan berat terlibat tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Baru-baru ini pula, kita dikejutkan dengan laporan kanak-kanak bawah umur memandu kereta sehingga viral di media sosial. Lebih mengejutkan, kanak-kanak terbabit tidak pula mengaku bersalah memandu tanpa lesen ketika dituduh di mahkamah. Bayangkan jika kemalangan berlaku, apa nasib kanak-kanak terbabit yang tidak dilindungi insurans dan bagaimana pula nasib pengguna lain? Kita hanya mampu geleng kepala dan bersyukur tiada perkara buruk terjadi.
Pada hemat saya, ada keperluan buat kerajaan memperhalusi semula undang-undang berkaitan jalan raya sedia ada bagi lebih mendisiplinkan rakyat terutama mereka yang bergelar pemandu.
Mungkin terdapat ruang-ruang yang boleh ditambah baik pada akta sedia ada, khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mungkin hukuman yang ada dianggap ringan oleh banyak pihak dan tidak menggerunkan mereka sehingga ada yang memandu tanpa perlindungan insuran, cukai jalan, hatta tanpa lesen. Justeru, hukuman lebih berat mungkin dapat menjadikan kita pemandu yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.
Begitu juga dari segi penguatkuasaan. Pihak berkuasa iaitu polis dan JPJ perlu lebih kerap menjalankan sekatan dan pemeriksaan bagi mengesan pemandu-pemandu ‘degil’ ini.
Dalam konteks ini, dasar pemandu tidak lagi perlu pamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, mungkin juga boleh diteliti keberkesanannya. Kaedah itu mungkin menyukarkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti kenderaan yang sebenarnya tiada perlindungan insurans dan cukai jalan, berbanding sebelum ini.
Sebelum membarah, elok diatasi segera.
Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan