Kumpulan EPIC sasar perolehan RM400 juta 2025


Kumpulan EPIC sasar perolehan RM400 juta 2025
August 30, 2024


KUALA LUMPUR: Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mensasarkan untuk mencapat hasil perolehan melebihi RM400 juta pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Muhtar Suhaili berkata, jika dicapai jumlah itu menjadi sejarah pencapaian terbaik syarikat.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di Facebooknya susulan EPIC Berhad dengan jayanya menutup tirai 2025 Strategic Business Plan and Budget Alignment Session di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, semalam. (Foto atas)

Menurutnya, pemukiman tiga hari dua malam itu menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi Kumpulan EPIC dan anak-anak syarikat bagi membentang dan menyelaras pelan perniagaan serta belanjawan masing-masing untuk tahun 2025, dengan fokus jelas demi mencapai matlamat syarikat pada tahun mendatang.

Katanya, para peserta hadir memberikan penglibatan tidak berbelah bahagi dalam sesi-sesi perbincangan, saling bertukar idea dan maklum balas, selain mengenal pasti peluang yang perlu dimanfaatkan serta cabaran yang perlu ditangani.

“Untuk tahun 2025, Kumpulan EPIC mensasarkan untuk mencapat hasil perolehan melebihi RM400 juta yang sekali gus jika dicapai menjadi sejarah pencapaian terbaik syarikat, insya-Allah,” ujarnya.

Tambahnya, hasil perkongsian buah fikiran itu bukan sahaja memantapkan hala tuju ke hadapan, tetapi juga mengukuhkan komitmen yang digalas bersama terhadap kecemerlangan industri.

Ini, ujarnya selaras dengan aspirasi shaping the growing future dan slogan budaya Be Fact: Better, Faster, Competitive syarikat.

Beliau memaklumkan, syarikat telah mencapai keputusan cemerlang bagi tempoh Januari-Julai 2024 dengan mencatatkan perolehan (revenue) sebanyak RM229.8 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM36.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM24.1 juta.

Katanya lagi, Kumpulan EPIC dijangka mencapai hasil perolehan sebanyak RM390 juta untuk tahun ini.

Tambahnya, keputusan itu jauh lebih baik berbanding tempoh yang sama 2023 juga berbanding Bajet 2024.

“Doakan semoga EPIC Berhad terus cemerlang sehingga penghujung 2024 dan tahun-tahun mendatang, insya-Allah,” katanya lagi.

EPIC Berhad adalah salah satu syarikat di bawah Terengganu Incorporated (TI).

Secara asasnya, EPIC ialah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan dan penyelesaian minyak dan gas bersepadu dengan lapan anak syarikat utama yang terlibat aktif dalam sektor minyak dan gas sama ada huluan mahupun hiliran. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

Ulasan