Mahkamah tolak injuksi Mohd Azizi hentikan PRK DUN Nenggiri


Mahkamah tolak injuksi Mohd Azizi hentikan PRK DUN Nenggiri
August 12, 2024

Mohd Azizi gagal dalam permohonannya untuk menghentikan PRK DUN Nenggiri. (FOTO: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan injuksi yang dikemukakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan dari diadakan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain antara lainnya memutuskan bahawa Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari menjalankan tanggungjawab perlembagaan dalam menjalankan pilihan raya kecil selepas berlakunya kekosongan luar jangka.

“Mahkamah tidak sepatutnya menjadi satu tempat untuk mengganggu ataupun menahan pihak-pihak yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan daripada melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya,” katanya.

Hakim dalam hujahannya turut menyatakan bahawa Azizi selaku plaintif tidak pernah dihalang daripada bertanding semula dalam PRK, namun beliau memilih untuk tidak menyertainya dan haknya tidak pernah dihalang dalam menyertai proses demokrasi.

“Keengganan plaintif menyertai PRK mungkin disebabkan plaintif mengetahui bahawa pengundi akan menghukumnya kerana mengkhianati amanah kemenangan yang diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

“Permohonan injunksi ini adalah sia-sia dan bersifat akademik,” tambahnya.

Oleh itu, Mahkamah Tinggi menetapkan kos remedi (pampasan) sebanyak RM10,000 secara kolektif kepada pihak defendan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta RM10,000 masing-masing kepada Speaker DUN Kelantan, Datuk Nik Amar dan pihak SPR.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 18 Disember depan untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak mengenai kes induk yang difailkan oleh Azizi bahawa pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu, yang menetapkan bahawa keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Azizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini merupakan antara enam ahli parlimen Bersatu yang beralih arah dengan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

Ulasan