Mampukah Paetongtarn mengakhiri badi legasi Shinawatra?


Mampukah Paetongtarn mengakhiri badi legasi Shinawatra?
MAMPUKAH pelantikan Paetongtarn Shinawatra dapat mengakhiri drama politik Thailand.-AFP
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
19 Ogos 2024, 8:00 am

PEMILIHAN Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri baharu Thailand mencetuskan pelbagai kebimbangan sama ada Ketua Pheu Thai itu bakal senasib dua keluarganya yang ter­singkir kerana rampasan kuasa.

Bapa Paetongtarn iaitu hartawan Thaksin Shinawatra dan ibu saudaranya, Yingluck masing-masing pernah digulingkan dalam rampasan kuasa ketika mereka menjadi Perdana Menteri Thailand ke-23 dan 28.

Malah sejak Thaksin digulingkan dalam satu rampasan tentera, terdapat empat pemimpin daripada parti pimpinannya iaitu Thai Rak Thai dan Parti Kuasa Rakyat serta terkini, Pheu Thai tersingkir sebagai Perdana Menteri.

Bermula Thaksin (rampasan kuasa), diikuti Samak Sundaravey (pemecatan mahkamah), Somchai Wongsawat (pembatalan parti), Yingluck (rampasan kuasa) dan terbaharu, Srettha Thavisin yang dilucut jawatan kerana melanggar etika melantik menteri pernah disabit jenayah.

Justeru pemilihan Paetongtarn sebagai Perdana Menteri ke-31 Thailand disifatkan para pemerhati politik boleh mengulangi nasib sama jika wanita itu tersilap langkah dalam mana-mana percaturan politik sehinggalah pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2027.

Meskipun beliau mendapat sokongan 315 ahli Parlimen termasuk 11 parti pemerintah, namun amat menghairankan terdapat dua wakil rakyat kerajaan iaitu Chalerm Yoobamrung (Pheu Thai) dan pemimpin Palang Pracharat, Prawit Wongsuwan tidak hadir ketika pengundian.


Bagaimanapun Prawit didakwa tidak hadir kerana meraikan atlet Thailand yang baharu pulang daripada temasya sukan Olimpik, Perancis.

ADVERTISING


Namun ini sedikit mencetuskan persepsi bahawa kononnya wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan wakil rakyat kerajaan terhadap Paetongtarn yang juga dikenali sebagai ‘Ung-ing’.

Chalerm sebelum ini dilaporkan mengadakan pertemuan bersama Prawit bagi membincangkan penghijrahannya daripada Pheu Thai ke Palang Pracharat, seperti dilaporkan media The Nation.

Persepsi boneka politik

Persoalan besar ialah sejauh mana Paetongtarn akan dipengaruhi oleh bapanya, lapor AFP.

Apatah lagi Paetongtarn masih berusia 37 tahun, sekali gus menjadi Perdana Menteri termuda dalam sejarah Thailand, corak pemerintahan mungkin dibayangi bapanya yang telah bergelumang dalam politik sejak 20 tahun lalu.

Thaksin telah memberikan bayangan yang luar biasa terhadap politik kerajaan selama dua dekad.

Beliau telah mengubah politik Thailand pada awal 2000-an dengan dasar populis yang mengekalkan kesetiaan daripada rakyat luar bandar dan dua pilihan raya.

Digulingkan sebagai Perdana Menteri oleh tentera pada 2006, Thaksin membawa dirinya ke dalam buangan dua tahun kemudian tetapi tidak pernah berhenti mengulas mengenai hal ehwal negara atau mencampurinya, menurut pengkritik.

Anak bongsu Thaksin itu dbesarkan di Bangkok dan mengikuti pengajian pengurusan hotel di Britain, kemudian berkahwin dengan juruterbang komersial serta mempunyai dua orang anak.

Beliau menceburi politik pada akhir 2022 kemudian dilantik mengetuai pucuk pimpinan Parti Pheu Thai, malah pernah dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada tahun lalu bersama dua lagi calon lain iaitu Srettha dan Chaikasem Nitisiri.

Beliau kini muncul Perdana Menteri wanita kedua Thailand selepas ibu saudaranya, Yingluck dan yang ketiga dalam keluarga Shinawatra, satu kejutan yang mungkin mencetuskan semula ketegangan politik.

Beliau bagaimanapun dijangka menghadapi tugas sukar untuk memulihkan ekonomi Thailand dan mengelak rampasan kuasa tentera dan campur tangan mahkamah yang menumbangkan empat pentadbiran terdahulu yang dipimpin oleh partinya.

Paetongtarn mengakui bahawa beliau bukan yang terbaik, mahupun yang paling berbakat.

“Tetapi saya sentiasa fikir saya mempunyai keinginan yang kuat dan saya mempunyai pasukan yang baik. Pasukan saya kuat, berpengalaman, tekad dan kami berkongsi idea yang sama. Itu sesuatu yang saya hargai,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Ulasan