Merdeka negara ini cuba dirosakkan dari dalam
August 31, 2024
ALOR SETAR: Pejuang terdahulu sanggup bertaruh nyawa dan darah untuk mencapai kemerdekaan, namun kini muncul pengaruh baharu dalam masyarakat dan negara ini yang cuba merosakkannya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehubungan itu mengingatkan bahawa merdeka yang dikecapi ini mesti dipelihara setelah ia dirintis dengan penuh kepayahan.
“Kejadian pasang bendera Malaysia terbalik bukanlah perkara kecil, sebaliknya simbolik perasaan dan hasrat golongan berkenaan agar perkara itu tidak menjadi pelik.
“Seolah-olah perkara biasa yang berlaku di hadapan kita tanpa perlu berkata apa-apa,” kata beliau pada ucapan sempena menyambut Ambang Merdeka, di Taman Jubli, Suka Menanti, di sini malam tadi.
Membidas normalisasi sedemikian, pihak tersebut katanya, cuba mengganggap kejadian seperti itu adalah kebebasan dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka ini.
“Kita nak semua rakyat, tidak kira bangsa dan agama, hidup aman terutama di bumi bertuah, Kedah. Hidup aman damai, bersatu padu, tiada dengki mendengki, tidak sabotaj orang lain.
“Sebaliknya menggunakan semua sumber dan kekuatan yang kita miliki untuk bangunkan negeri ini menuju The Greater Kedah,” tambahnya yang juga ADUN Jeneri dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.
Tegas Sanusi lagi, selepas 67 tahun mencapai kemerdekaan, Kedah yang disayangi ini telah menjadi sebuah negeri Jelapang Padi Negara di mana menyumbang 43 peratus beras negara.
Kedah katanya, berkorban menghasilkan makanan untuk seluruh rakyat negara ini, namun dalam masa yang sama, rakyat dapat saksikan begitu banyak kawasan industri baru tumbuh mutakhir ini.
“Walaupun Kedah dikatakan negeri Jelapang Padi tapi kita mampu mengukir kejayaan sebagai negeri yang paling besar menerima kemasukan pelaburan asing iaitu RM31.8 bilion untuk suku pertama tahun ini.
“Kita buka seluas-luasnya peluang ekonomi untuk direbut oleh seluruh rakyat negeri ini dan tidak ingin kekayaan hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja.
“Kita tidak melayan sikap lobi-melobi projek-projek khususnya kepada golongan tertentu sebaliknya kita mengamalkan sikap adil agar semua mendapat peluang sama rata,” tegasnya lagi.
Perkara terpenting katanya, fokus mempersiapkan generasi muda yang akan mewarisi negeri ini dengan ilmu kemahiran, semangat dan kebolehan untuk pastikan Kedah terus kekal menjadi negeri terbilang.
Dalam pada itu ujarnya, perhatian khususnya kepada saudara mara, jiran dan penduduk kampung yang daif dan kurang berkeupayaan, mestilah diberi keutamaan.
Tugas itu katanya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi orang ramai serta masyarakat agar golongan memerlukan tidak terpinggir dari nikmat yang sewajarnya menjadi hak mereka. – HARAKAHDAILY 31/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan