Pakar geologi: Lubang benam kedua mungkin disebabkan operasi SAR



Pakar geologi: Lubang benam kedua mungkin disebabkan operasi SAR
Diterbitkan: Aug 30, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 8:12 AM

Lubang benam kedua yang terbentuk di Jalan Masjid India berhampiran lokasi insiden menimpa pelancong wanita India yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter, minggu lalu berkemungkinan berpunca daripada aktiviti manusia.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Geobencana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Goh Thian Lai berkata ia mungkin disebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan pihak berkuasa ketika ini.

“Human induced sinkholes wujud 50 meter daripada tempat kejadian berkemungkinan disebabkan oleh kewujudan lubang yang dikorek untuk (kerja-kerja) penyelamatan.

“Ia juga mungkin disebabkan lagi satu paip pecah,” katanya kepada Malaysiakini.

Jumaat lalu, seorang wanita warga India, Vijayaletchumi, 48, terjatuh dalam lubang benam di Jalan Masjid India dan sehingga kini belum ditemui.

Usaha mencari dan menyelamat wanita dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu sudah masuk hari ketujuh.


Lubang benam baru dikesan Rabu lalu dan dianggarkan sebesar dua kaki, terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi insiden yang pertama.

Mengulas lanjut, Goh berkata orang ramai disarankan untuk menjauhi kawasan berkenaann buat sementara waktu.

“Kerana rongga-rongga atau potensi anthropogenic (kesan aktiviti manusia terhadap alam) belum dikenal pasti.

“Keselamatan kawasan sekitar sinkholes antropogenik tidak selamat. Kawasan yang ditutup – pihak berkuasa perlu pastikan atau buat penilaian keselamatan,” tegasnya.

Manakala kawasan lain yang pada pandangannya turut sama memerlukan pemantauan.

Mengulas bagaimana insiden lubang benam itu boleh berlaku Goh berkata terdapat dua masalah yang boleh dikenal pasti.

“Natural sinkhole (lubang benam semula jadi) terbentuk daripada proses semula jadi. Biasa terjadi masa kemarau apabila terdapat penurunan paras air bawah tanah. Faktor lain juga kerana daripada gegaran gempa bumi, kerja-kerja pilling kuari serta kerja-kerja pembinaan utama.

“Human-induced sinkhole terbentuk daripada aktiviti manusia. Biasa terjadi disebabkan oleh paip air pecah, paip pembentungan pecah atau aktiviti terowong.

“Boleh terjadi masa hujan kerana ailiran daripada pembuangan air saliran dan angkut bahan timbunan di bawah jalan atau laluan pejalan kaki,”katanya.

Langkah mengatasi

Menurut Goh yang juga presiden Persatuan Geologi Kejuteraan dan Mekanik Batuan Malaysia, insiden yang berlaku di Masjid India ketika ini dikenali sebagai lubang benam antropogenik.

“Di mana terbentuk lubang benam yang disebabkan oleh aktiviti berkaitan manusia, bukan oleh proses semula jadi.

“Punca utama lubang benam antropogenik ini adalah kerana paip pembetung 1.5 meter pecah. Tidak pasti apa punca ia pecah. Bahan timbus di bawah laluan pejalan kaki dibawa secara beransur-ansur dan dihanyutkan oleh air yang mengalir dalam paip pembetungan.


“Fenomena ini mewujudkan ruang berongga di bawah laluan pejalan kaki, (yang menyebabkan) lubang benam antropogenik,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Goh berkata pihak berkuasa perlu memberi perhatian kepada dua aspek iaitu aspek teknikal dan aspek sosial.

“Aspek teknikal, pihak berkuasa perlu melibatkan ahli geologi dan jurutera bertauliah untuk melakukan kerja berikut.

“Peringkat pertama, menjalankan pengenalpastian medan, pemetaan bawah permukaan menggunakan kaedah geofizik dan peringkat kedua menjalankan langkah tebatan atau pemulihan – aktiviti seperti mengepam epoksi/grouting ke dalam rongga yang dikenal pasti pada peringkat pertama.

“Manakala aspek sosial pula pihak berkuasa disarankan menjalankan program kesedaran kepada orang ramai tentang apa itu lubang benam, cara mengenal pasti dan cara mengelakkan lubang benam yang berpotensi,” tambahnya.

Ulasan