Pelantikan Mas Ermieyati keputusan tepat – DMPNM
April 6, 2023
AYER KEROH: Pelantikan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah satu keputusan tepat yang dibuat oleh Parlimen.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM), Kintan Man berkata, Mas Ermieyati mempunyai berlatar belakangkan undang-undang dan berpengalaman sebagai Timbalan Menteri sebelum ini, yang akan memantapkan lagi peranan beliau selama memegang jawatan berkenaan.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Yang Berhormat (YB) Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC) yang baharu.
“Nama YB Masjid Tanah daripada blok pembangkang yang dicalonkan oleh Perdana Menteri dan disokong oleh pihak kerajaan dan pembangkang sendiri adalah merupakan sesuatu yang menarik perhatian rakyat.
“Apatah lagi rakyat kini amat prihatin akan perkembangan politik tanah air,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily hari ini.
Tambah beliau, peranan PAC ini sangat besar sebagai semak dan imbang terhadap segala urusan kewangan kerajaan untuk memastikan kerajaan membelanjakan wang rakyat secara berakauntabiliti dan berintegriti.
“Kami juga berharap agar isu-isu ketirisan yang pernah menjadi panas sebelum ini seperti ‘skandal LCS’ dan lain-lain isu akan dapat dirungkai dan dijelaskan kepada rakyat.
“Semoga YB Masjid Tanah dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah ditaklifkan dengan penuh telus dan berwibawa kelangsungan membawa imej Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023
Ulasan
Catat Ulasan