Pelantikan Yahya Sinwar, mesej Hamas untuk Israel
YAHYA Sinwar (tengah) melambai tangan kepada penyokongnya semasa perhimpunan sempena ulang tahun ke-35 Hamas di Gaza, pada 14 Disember 2022.- AFP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
8 Ogos 2024, 9:00 am
BAITULMUQADDIS: Pemilihan Yahya Sinwar, musuh nombor satu Israel, sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu, mengejutkan rejim Zionis yang tidak menyangka pemimpin itu masih hidup.
Ini sekali gus memperlihatkan kegagalan Tel Aviv menghapuskan pemimpin-pemimpin utama Hamas di Gaza.
Pihak Berkuasa Penyiaran Israel, KAN menerusi korespondennya, Roi Kais menyifatkan pelantikan itu juga adalah isyarat daripada pergerakan Islam berkenaan bahawa kepemimpinan Hamas di Gaza masih kukuh dan akan kekal berkuasa.
“Pemilihan Sinwar adalah satu kejutan hanya seminggu selepas pembunuhan Ismail Haniyeh.
“Israel percaya tindakan ini adalah mesej dari Hamas bahawa Sinwar masih hidup, walaupun diburu oleh Israel,” katanya.
Penganalisis hal ehwal Asia Barat untuk saluran televisyen Israel, Channel 12 berkata, pelantikan Sinwar mempunyai makna simbolik dalam mengesahkan kedudukannya dalam pergerakan tersebut.
Pemimpin Hamas, Osama Hamdan, dalam satu mesej rakaman pula menyifatkan, pemilihan Sinwar memimpin Biro Politik Hamas menunjukkan penyatuan pemimpin-pemimpin pergerakan itu dalam mencapai keputusan.
Beliau berkata, keputusan itu juga memaparkan kegagalan Israel menghapuskan pemimpin Hamas.
Kelmarin, Hamas mengumumkan pelantikan Sinwar selepas dua hari rundingan panjang di Doha, Qatar, bagi menggantikan Haniyeh yang dibunuh minggu lalu dalam satu serangan di Teheran, Iran.
Sejak berkhidmat sebagai ketua kumpulan pejuang itu di Gaza pada 2017, Sinwar menjadi pemimpin Hamas yang paling dikehendaki, dengan Tel Aviv menuduhnya mendalangi serangan 7 Oktober tahun lalu.
Ulasan
Catat Ulasan