Pembatalan larangan komik ‘Superman Hew’: Reaksi netizen
August 20, 2024
KUALA LUMPUR: Pembatalan larangan terhadap komik ‘Superman Hew’ pada 13 Ogos lalu, melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos telah meraih perhatian meluas dalam kalangan netizen.
Menurut analisis yang dilakukan oleh sebuah pusat penyelidikan pendidikan, QGenAnalaysts, mendapati ketiga-tiga platform media sosial iaitu Facebook, TikTok dan X menunjukkan reaksi negatif netizen terhadap perkara tersebut.
Di laman Facebook, 85 peratus daripada komen adalah negatif terhadap gabungan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dengan netizen berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri sebagai wakil parti berteraskan Melayu dalam kerajaan tidak mengambil tindakan dan memilih untuk berdiam diri mengenai isu ini.
Sementara itu di TikTok, 85 peratus daripada komen adalah negatif terhadap parti berteraskan bangsa dan 10 peratus memberikan komen negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laman X pula mendapati 60 peratus daripada komen adalah negatif terhadap kerajaan, dengan majoriti netizen mendakwa bahawa komik ini menyebarkan ideologi ‘komunisme’ dan meluahkan rasa kurang senang apabila kerajaan dilihat mempertahankan komik tersebut.
Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong turut mengulas isu ini dengan memberikan pandangan bahawa kandungan komik tersebut disifatkan penuh dengan provokasi dan masih berbahaya.
Beliau juga berpendapat komik ‘Superman Hew’ ini tidak sensitif terhadap sensitiviti orang Melayu-Islam yang merupakan golongan majoriti di Malaysia.
Dapat disimpulkan bahawa pembatalan larangan terhadap komik ‘Superman Hew’ telah mencetuskan reaksi negatif yang meluas di kalangan netizen di pelbagai platform media sosial, dengan kritikan ditujukan terhadap kerajaan serta kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Majoriti netizen turut menganggap keputusan ini sebagai tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat dan berpotensi menyebarkan ideologi yang tidak diingini. – HARAKAHDAILY 20/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan