Perpaduan rakyat berbilang kaum telah lama wujud di Kelantan



Perpaduan rakyat berbilang kaum telah lama wujud di Kelantan
August 31, 2024


KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, acara sambutan hari kemerdekaan tahun ini diadakan awal bersama dengan sambutan Ambang Merdeka.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagaimana tahun lepas untuk memberi peluang kepada semua masyarakat di negeri ini menikmati cuti bersama keluarga pada 31 Ogos.

Pada masa yang sama, katanya Kelantan mengadakan sambutan kemerdekaan ke-67 dengan tema yang sama kerajaan Persekutuan, tetapi dibuat sedikit pengubahsuaian ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka: Penghayatan Membangun Bersama Islam’.

Katanya, jiwa merdeka mesti mencerminkan kebebasan rakyat dari segala pengaruh yang boleh membawa kepada pemikiran negatif.

“Ia perlu mempunyai semangat patriotik yang utuh di dalam diri untuk mempertahankan tanah air dari segala kerosakan dan seterusnya dapat hidup secara harmoni di dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan Negeri Kelantan berkata demikian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-67 di Stadium Sultan Muhammadi, di sini malam tadi.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir pada majlis itu, bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan, Ahmad Yakub, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Kata Fadzli lagi, tema kemerdekaan tahun ini membawa makna yang mendalam untuk menunjukkan komitmen pentadbiran kerajaan negeri dalam mestikan dasar pentadbiran kerajaan negeri dihayati setiap lapisan masyarakat.

“Biarpun Dasar Membangun Bersama Islam diperkenalkan sejak tahun 1990 sewaktu era pentadbiran almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun penganut agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka.

“Penganut agama buddha, hindu dan lain-lain agama bebas mengamalkan ajaran dan kepercayaan masing-masing selagi ianya tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Tambahnya, model kehidupan berbilang kaum di negeri ini amat unik dan merupakan model terbaik untuk dicontohi kepada negeri lain.

Untuk itu, katanya bagi menjiwai erti kemerdekaan sebenar, perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum yang telah lama wujud di negeri ini mesti dikekalkan. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

Ulasan