PN seru kumandangkan Qunut Nazilah dan solat hajat Sabtu ini
August 1, 2024
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyeru kepada semua rakyat Malaysia bersolidariti buat rakyat Palestin dan melaksanakan solat hajat bersama-sama di seluruh negara dengan penuh pengharapan pada 3 Ogos, Sabtu ini.
Tokoh perjuangan, Ismail Haniyeh yang merupakan Mantan Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin dari 29 Mac 2006 hingga 2 Jun 2014 telah lama menjadi simbol perlawanan bagi rakyat Palestin. Beliau juga memegang jawatan Ketua Biro Politik Hamas sejak 6 Mei 2017.
Pada tarikh keramat 31 Julai 2024, dunia telah dikejutkan dengan berita syahidnya tokoh perjuangan ini. Beliau yang dibunuh ketika menghadiri sesi mesyuarat bersama Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dan Panglima Tertinggi Briged Seraya Al-Quds.
“Kejayaan pembunuhan ini mungkin dianggap sebagai kemenangan besar oleh puak-puak laknat Zionis Israel.
“Mereka tidak sedar bahawa serangan ini akan semakin mengobarkan lagi semangat jihad rakyat Falesteen dan umat manusia di seluruh dunia.” dalam satu kenyataan PN dalam laman Facebook rasminya.
Sementara itu, PN juga menyarankan untuk semua yang hadir untuk memakai baju hijau dan bermafla di hari solidariti.
“Moga dengan usaha kita ini, Zionis Israel laknatullah bakal dihancur sehancur-hancurnya!” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan