PN tuntut penjelasan krisis penerbangan Malaysia Airlines



PN tuntut penjelasan krisis penerbangan Malaysia Airlines
August 30, 2024

Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan krisis penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang kini semakin meruncing sehingga menjejaskan jadual penerbangan penumpang.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata, perkara itu menjadi persoalan kerana rakyat sentiasa memberi sokongan kepada syarikat penerbangan negara ini.

“Kecelaruan operasi yang sedang melanda Malaysia Airlines merupakan krisis yang serius dan memerlukan intervensi dari pihak kerajaan dengan serta-merta bagi membantu pihak penerbangan itu kembali ke landasan operasinya yang asal,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, pihaknya turut menuntut penjelasan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) yang merupakan sebuah entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tuntutan itu bagi menjawab dakwaan bahawa krisis yang melanda MAS hari ini adalah berpunca daripada kehadiran SIA Engineering Company Limited (SIAEC) daripada Singapura yang memajak hangar kapal terbang di Subang.

“Hal ini, sekali gus menyebabkan kekeringan tenaga kerja dalam sektor penerbangan kita akibat penghijrahan besar-besaran ke SIAEC,” katanya.

Beliau difahamkan bahawa pajakan ini dilaporkan akan berlangsung selama 15 tahun.

“Langkah Khazanah yang mengundang SIAEC ke Malaysia bukan sahaja dapat menarik pelaburan baharu, tetapi dalam masa yang sama sedang membahayakan struktur ekosistem penerbangan kita.

“Akhirnya akan menjejaskan keselesaan kepada rakyat sekiranya dakwaan ini benar,” katanya.

Justeru, Perikatan Nasional tetap mempersoalkan persediaan yang dibuat oleh kerajaan untuk menangani isu ini serta langkah yang telah disusun untuk membantu Malaysia Airlines.

Terdahulu, Harakahdaily telah melaporkan kenyataan media Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib pada 26 Ogos 2024 yang menggesa pihak pengurusan tertinggi dan berwajib, terutamanya Kementerian Pengangkutan supaya segera mengambil tindakan langkah-langkah proaktif untuk menyiasat punca masalah teknikal pesawat Malaysia Airlines.

Beliau menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai kekerapan insiden pendaratan cemas dan masalah teknikal yang berlaku melibatkan pesawat Malaysia Airlines sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini juga, Anthony Loke berkata terdapat masalah komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir adalah antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Malah, 63 daripada 411 pekerja MAB Engineering Services (MABES) yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan dikenal pasti sudah berhenti dan berhijrah ke tempat lain sejak Januari lalu.

Tambah Anthony, hasil dapatan itu dikenal pasti menerusi siasatan dilakukan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) ke atas MAB dan MABES, antara 24 hingga 28 Jun lalu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Madinah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Ogos lalu.

Pesawat MH152 yang berlepas dari KLIA pada 2.23 petang tetapi berpatah balik semasa terbang di atas Kepulauan Nicobar di Laut Andaman.

Sehari sebelum itu, penerbangan MAS MH386 terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana masalah tekanan kabin.

Pada 20 Ogos pula, penerbangan MH128 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Melbourne terpaksa membuat pendaratan cemas di Alice Springs di Wilayah Utara Australia. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

Ulasan