Sekat sertai renang, gimnastik usaha martabat wanita Islam


Sekat sertai renang, gimnastik usaha martabat wanita Islam
August 29, 2024

Sumaiyah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah untuk menyekat wanita Islam daripada menyertai sukan renang dan gimnastik sebagai usaha mengangkat martabat wanita.

Timbalan Pengarah 1 Ameerah Terengganu, Sumaiyah Zakaria berkata, pihaknya menyokong penuh terhadap keputusan kerajaan tersebut.

“Ameerah Terengganu konsisten dan menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menyekat penyertaaan atlet wanita dalam acara terjun dan gimnastik.

“Tindakan itu bukanlah satu cara untuk menjatuhkan imej ataupun merendahkan penyertaan wanita itu sendiri malah membuka ruang dan melindungi wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah membuat laporan polis berhubung satu hantaran gambar yang didakwa menimbulkan persepsi buruk terhadap wanita Islam.

Hantaran itu dipercayai merujuk kontroversi penyertaan dua penerjun wanita yang dihantar Persatuan Renang Amatur Terengganu di bawah perbelanjaan sendiri pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, baru-baru ini.

Ketika kejohanan SUKMA yang lalu, penyertaan dua atlet wanita itu yang mengundang perhatian di sebalik larangan kerajaan negeri sebelum ini susulan pemakaian tidak mematuhi syariah.

Sumaiyah yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS negeri berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu adalah berdasarkan tuntutan daripada Allah SWT.

“Kita inginkan sebuah kerajaan yang berkat dan kita nak bina kerajaan negeri ini bukan sahaja negeri yang bersih, kita nak pemimpin dan rakyat yang bersih.

“Semoga sekatan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri membuka mata kepada wanita Muslim bahawa Islam sangat melindungi wanita dan mengangkat martabat wanita Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

Ulasan