Siapapun calon PN, akan disokong sepenuhnya



Siapapun calon PN, akan disokong sepenuhnya
August 29, 2024


KLUANG: Sama ada calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota itu daripada PAS, BERSATU atau GERAKAN, ia akan diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh semua ahli parti komponen.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, apa yang penting adalah semua jentera Perikatan Nasional harus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pilihan raya bakal berlangsung itu nanti.

“Itu (pemilihan calon) kita serahkan pada pucuk pimpinan Perikatan Nasional Malaysia kita serahkan pada pimpinan kita di peringkat Pusat.

“Siapa saja yang akan diputuskan oleh pimpinan kita yang akan diisytiharkan, insya-Allah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam waktu yang sesuai nanti kita sama-sama akan mendukung,” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Himpunan Jentera Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Utama (BGU) parti itu bagi PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini, malam ini.

Kata beliau lagi, Perikatan Nasional Parlimen Kluang dan Negeri Johor sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRK itu dan telahpun mengadakan beberapa program awal bagi persediaan menghadapinya.

“Kita daripada awal lagi menyatakan bahawa kita bersedia menghadapi pilihan raya ini. Daripada awal lagi kita telah pun mengorak langkah Perikatan Nasional Negeri Johor dan Perikatan Nasional Kluang.

“Kita telah mengorak langkah untuk memastikan kita dapat menyertai pilihan raya ini dengan semaksima mungkin, pengorbanan yang sebaik mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional Johor menambah, malam ini bukanlah malam pengumuman calon bagi PRK itu kerana ia akan dilakukan selepas ini setelah keputusan itu dibuat pucuk pimpinan Perikatan Nasional.

“Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dan juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Johor menyatakan sokongan yang padu, iltizam dan komitmen yang tinggi untuk memastikan kita dapat mencapai kemenangan di DUN Mahkota ini.

“Insya-Allah kita boleh menang dengan syarat kita bekerjasama, berganding bahu memantapkan saf jentera dan pimpinan di semua peringkat, perpaduan dengan kesatuan daripada
BERSATU, GERAKAN dan PAS,” katanya.

Program tersebut menampilkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Pusat yang juga Pengarah Utama PRK DUN Mahkota, Dato’ Seri Azmin Ali sebagai penceramah utama di samping Ustaz Abdullah.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahruddin Jamal.

Turut hadir ialah Pengerusi GERAKAN Johor, Teo Kok Chee dan Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Dato’ Seri Rina Harun sertaPengarah PRK DUN Mahkota, Solehan Badri.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu pada PRN Johor yang diadakan Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

Ulasan