Sidang Kemuncak Ke-4 SG4: PN serius pacu negeri



Sidang Kemuncak Ke-4 SG4: PN serius pacu negeri
August 29, 2024


KANGAR: Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) menandakan komitmen kukuh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membangunkan negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

Sidang ini dianggap sebagai platform utama untuk memperkuatkan kerjasama antara empat negeri di Utara Semenanjung dan Pantai Timur Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyifatkan sidang kemuncak ini sebagai peluang besar untuk memperkasakan sektor ekonomi, pelaburan, infrastruktur, pendidikan dan modal insan.

Tambahan pula ujarnya, ia membuka ruang untuk meneroka peluang sumber pendapatan baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada negeri-negeri terlibat.

“Sidang Kemuncak SG4 ini akan membentuk jaringan kerjasama antara pemegang taruh, merangka hala tuju melalui pembentangan oleh panel penasihat, serta menetapkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang bagi setiap kluster SG4.

“Dengan kerjasama yang terjalin, kita mengharapkan agar sidang ini menjadi titik perubahan yang dapat melonjakan ekonomi serta pembangunan negeri-negeri terlibat,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Perlis untuk menyaksikan persidangan ini secara langsung di mana akan diadakan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi pada Isnin, 2 September ini.

“Sidang kemuncak ini menjadi satu tindakan nyata yang kita serius dalam membangunkan negeri. Kerjasama ini juga diharapkan dapat menjadi satu anjakan kepada kehidupan kita di Perlis,” tambahnya lagi.

Sidang Kemuncak SG4 bukan sahaja penting dalam konteks perancangan dan pembangunan, tetapi juga sebagai simbolik kesatuan antara negeri-negeri di bawah pentadbiran PN.

Antaranya dalam usaha bersama SG4 ke arah memperkasakan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

Ulasan