Tangani buli di asrama dengan berkesan
SEPERTI kes Zulfarhan Osman Zulkarnain, pembulian dalam kalangan warga asrama adalah isu yang memerlukan perhatian serius semua pihak kerana ia tidak hanya memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli, keluarga dan komuniti secara keseluruhan.
Oleh Meja Rencana
5 Ogos 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
KES buli dalam kalangan warga asrama merupakan isu yang serius dan perlu ditangani dengan berkesan. Kes pembulian bukan sahaja memberi kesan negatif kepada mangsa, tetapi juga kepada pembuli, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Dalam konteks ini, kita akan melihat psikologi pembuli iaitu faktor yang mendorong kepada perlakuan tersebut serta implikasinya melalui kajian kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Didikan atau pengalaman hidup membentuk pandangan mereka terhadap orang lain sebagai alat untuk mencapai matlamat. Tekanan rakan sebaya juga memainkan peranan penting. Keluarga yang tidak stabil atau mempunyai sejarah keganasan boleh menyumbang kepada pembentukan tingkah laku pembuli.
Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang kasar mungkin menganggap keganasan sebagai cara yang sah untuk menyelesaikan konflik. Ketiadaan pengawasan daripada pihak berkuasa atau kakitangan cenderung menjadi punca lebih banyak kes pembulian.
Ketiadaan pengawasan membolehkan pembuli bertindak tanpa takut akan kesan yang akan dikenakan. Sesetengah asrama mempunyai budaya yang membenarkan atau tidak mengambil serius kes-kes pembulian. Tradisi ini mungkin dianggap sebagai ritual atau hak untuk diterima dalam kalangan pelajar baharu.
Kekurangan program pendidikan dan kesedaran tentang kesan negatif pembulian boleh menyebabkan pelajar tidak memahami impak tindakan mereka terhadap mangsa.
Dalam kes ini, Zulfarhan mengalami kecederaan fizikal yang teruk sehingga menyebabkan kematiannya. Trauma psikologi termasuk ketakutan, keresahan dan perasaan tidak berdaya yang boleh berlarutan seumur hidup. Keluarga mangsa juga mengalami kesan yang mendalam selain menghadapi trauma melihat anak mereka meninggal dunia dengan cara yang begitu tragis.
Pembuli dalam kes ini didakwa dan menerima hukuman setimpalnya mengikut lunas perundangan negara. Hukuman yang dikenakan tidak hanya memberi kesan kepada mereka dari segi kebebasan, tetapi juga dari segi psikologi dan masa depan. Alangkah sayangnya usia muda dibazirkan dengan begitu sahaja sedangkan mereka mampu diasah menjadi benteng pertahanan negara satu hari nanti. Kesalahan yang mereka lakukan akan menghantui mereka seumur hidup dan mempengaruhi reputasi serta peluang masa depan.
Oleh itu, penting bagi institusi pendidikan, pihak berkuasa dan masyarakat untuk bekerjasama dalam menghapuskan budaya pembulian melalui pendidikan, pengawasan yang ketat dan penegakan undang-undang yang tegas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pelajar di asrama.-UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pengetua Kolej Kediaman Jasmine
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor
Kampus Puncak Alam
Ulasan
Catat Ulasan