Toksik dan batil itu rakan sekutu mereka agaknya?



Toksik dan batil itu rakan sekutu mereka agaknya?
August 31, 2024

Share

JERAI: Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan dakwaan terdapatnya politik toksik dan batil Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan mungkin ditujukan kepada rakan sekutunya Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PAS itu berkata, sejak dahulu lagi PH telah mengamalkan budaya politik toksik dan membentuk persepsi untuk dimainkan ke atas rakyat negara ini.

“Bukan sekarang sahaja, sejak zaman reformasi lagi, PH sering mainkan politik emosi dan membentuk pelbagai persepsi,” katanya ketika ditemui Harakahdaily pada program Konvensyen PAS Kedah, di Dewan Masjid Wustho, di sini semalam.

Namun kata Ahli Parlimen Bagan Serai itu lagi, Timbalan Presiden Umno itu sewajarnya berhati-hati apabila menimbulkan isu berkenaan kerana bimbang rakan sekutunya akan ‘terasa hati’.

Sementara itu, berkenaan tuduhan ‘dajal’ kepada PAS oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ujar Idris, ungkapan itu sama seperti sebelum ini apabila menuduh PAS penunggang agama.

“Rakyat boleh buat perbandingan, ‘dajal’ atau penunggang agama itu maksudnya bagaimana.

“Penunggang agama yang sebenarnya adalah seperti mereka yang lepas solat Maghrib bagi kuliah, tetapi lepas Isyak menari, bersalaman lelaki perempuan tanpa batasan.

“Tetapi PAS tidak. Agama menjadi panduan kepada PAS. Bukan kata menari, bersalaman lelaki perempuan pun PAS tak buat. Jadi kalau kata PAS penunggang agama, rasanya rakyat akan gelak ajalah,” tambah beliau.

Pada perkembangan lain yang membabitkan larangan Kerajaan Terengganu terhadap atlet wanita Islam untuk menyertai sukan dalam acara terjun, gimnastik, papan anjal dan berenang, katanya hal itu amat baik.

“Apa yang hendak dibawa oleh Kerajaan Terengganu ialah agar rakyat hidup dalam suasana baik, bermoral dan berakhlak. Islam bukan anti sukan dan hiburan, tetapi Islam nak bawa masyarakat ke tata susila sesuai dengan adat resam orang Melayu dan Islam,” katanya lagi.

Sementara tuduhan kononnya larangan itu merencatkan potensi sukan anak muda, baginya dakwaan itu amat dangkal dan bukan realiti sebenar.

“Adakah selama ni yang pakai tak senonoh tu semua dapat merangkul kejayaan. Boleh tengok pencapaian Malaysia dalam sukan Olimpik. Tara mana?

“Jadi, janganlah nak kaitkan soal pakaian dengan terencat potensi sukan, anggapan tu tak betul.

“Dalam soal bab agama kita pun mereka nak campur, kalau berkaitan mereka, boleh pula sebut kebebasan, konon orang lain tak boleh campur sebab agama mereka tak larang,” ulasnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

Ulasan