Apa di sebalik tanah runtuh, banjir kilat dan lubang jerlus?




Apa di sebalik tanah runtuh, banjir kilat dan lubang jerlus?
September 11, 2024


“SEBANYAK 108 lokasi aduan mengenai kejadian tanah runtuh melibatkan cerun berisiko yang memerlukan tindakan selanjutnya daripada pihak-pihak bertanggungjawab, sejak Disember 2021.” (108 lokasi aduan tanah runtuh di Kuala Lumpur sejak 2021 – Laporan Kosmo Digital, 5 Mei 2023)

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 14 lagi kawasan hot spot banjir kilat di sekitar ibu negara dan akan mengambil langkah segera termasuk mempercepat projek mitigasi bagi mengatasi isu berkenaan.

“Antara kawasan itu ialah Jalan Syed Putra, Jalan Peel, Jalan Dutamas dan Jalan Pahang, Jalan Maharajalela, Jalan Raja Chulan, Jalan Genting Kelang (Utar dan Shell), Lorong Titiwangsa 11, Jalan Pahang Barat dan Jalan Tun Razak.” (14 lagi lokasi panas banjir kilat di Kuala Lumpur – Laporan Harian Metro, 23 Ogos 2024)

“Prof Madya Dr. Mohd Rozi Umor yang ketika itu merupakan pensyarah kanan, Program Geologi, Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau menyatakan bahawa Lembah Klang diancam lubang benam.

“Beberapa tempat di Lembah Klang yang dikenal pasti sebagai kawasan batuan dasar batu kapur yang mempunyai risiko pembentukan lubang benam termasuklah Bukit Bintang, Puchong, Gombak, Cheras, Ampang Hilir, Jalan Pudu, dan Jalan Pahang.

“Sementara beberapa tempat di Perak, Perlis, Pahang, dan Kelantan turut berpotensi diancam kewujudan rongga bawah tanah yang berupaya menyebabkan pembentukan lubang benam.” (Lubang benam menunggu mangsa – Laporan Harakahdaily, 23 Ogos 2024)Negara digemparkan dengan tragedi Highland Tower di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993.

Itu antara sedutan beberapa laporan media tempatan yang melaporkan mengenai kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan lubang benam atau lubang jerlus (sinkhole) yang pernah berlaku di Lembah Klang, khususnya ibu kota Kuala Lumpur.

Justeru adakah apakah faktor yang menyebabkan kejadian itu berlaku di ibu negara Kuala Lumpur yang pesat membangun ini – adakah faktor semulajadi atau disebabkan manusia dalam erti kata lain pembangunan.

Arkitek Landskap dan Perancang Alam Sekitar, Fauzi Abu Bakar berkata, isu berlakunya tebing runtuh, banjir kilat, tanah runtuh dan seumpama itu sama sekali tidak dapat lari dari kaitannya dengan hasil perancangan pembangunan selain pembangunan kawasan-kawasan yang dibangunkan secara makro.

Menurutnya, setiap pembangunan yang dirancang sepatutnya melalui proses perancangan teliti bagi setiap cadangan termasuk melakukan analisis tapak, persekitaran dan sebagainya.Situasi di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor pada 16 Mac 2022. (FOTO: YUSMAN AWANG/Harakahdaily)

“Kajian terhadap maklumat-maklumat dan analisis tersebut merangkumi isu-isu berkaitan dengan keadaan alam sekitar, infrastruktur yang sedia ada, habitat sedia ada, struktur geologi, lembangan sungai dan kawasan tadahan air, sungai-sungai serta saliran limpahan hujan, kekerapan banjir dan sebagainya.

“Jadi kebanyakannya di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar di mana sahaja, termasuklah kawasan pembangunan baru di Malaysia, kajian perancangan telah dibuat oleh agensi yang berkenaan dengan teliti berpandukan garis panduan amalan ikhtisas.

“Antara kajian yang perlu dilakukan adalah sepert EIA (Kajian Impak Alam Sekitar) iaitu mengenai kesan kepada alam sekitar, SIA (Kajian Impak Sosial) mengenai impak sosial, TIA (Kajian Impak Trafik) dan audit,” jelas beliau kepada Harakahdaily.

Namun begitu menurut beliau, boleh dikatakan bahawa tidak semua pembangunan tersebut memberi perhatian lebih kepada data-data dan dokumentasi maklumat yang direkodkan di dalam simpanan agensi-agensi terlibat berkaitan dengan pembangunan. Banjir kilat yang menenggelamkan kenderaan yang berada di jalan raya di Jalan Kuchai Lama, Petaling Jaya, Selangor pada petang 7 Mac 2022.

Menurut beliau, data-data serta maklumat terkini perlu dikemaskinikan untuk rujukan bagi setiap kajian bagi cadangan pembangunan yang baharu.

Maklumat tersebut kata beliau lagi, sepatutnya menjadi asas panduan dan rujukan terkini kepada semua pihak berkepentingan untuk digunakan sebagai asas penilaian dan perancangan bagi semua pembangunan infrastruktur dan alam bina.

Antara agensi tersebut menurut beliau, adalah Jabatan Perancang, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pembangunan Parit dan Saliran dan Majlis Perbandaran dan sebagainya.

“Kalau ikut kaedah sebenarnya, maklumat-maklumat pembangunan yang dicadangkan hendaklah dirujuk balik kepada keadaan status semasa yang telah dikemaskinikan iaitu data-data yang telah diambil dan direkod daripada semua pemaju-pemaju, kontraktor-kontraktor yang membuat pembangunan di seluruh kawasan pentadbiran majlis tersebut.Peta (gambar kiri) menunjukkan hasil kajian “Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya” oleh Rosdi et al. (2017); manakala (gambar kanan) kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang menggemparkan negara pada 28 Ogos 2024.

“(Ia) hendaklah dijadikan sebagai data asas rujukan kepada semua cadangan-cadangan projek yang baharu dicadangkan supaya mengambil kira kesan dan impak kepada kawasan yang hendak dibangunkan berkaitan dengan semua aspek-aspek yang perlu diperincikan.

“(Antara aspek yang perlu diperinci) seperti saluran air, parit dan saliran aeration transport (pengudaraan), jalan, lalu lintas, bekalan air, elektrik, kumbahan dan semua infrastruktur-infrastruktur yang terlibat untuk setiap pembangunan tersebut,” jelas Fauzi.

Maklumat-maklumat tersebut gesa beliau, perlu diproses dan diambil kira status selepas dikaji semula berkenaan cadangan permohonan yang hendak dicadangkan itu supaya mematuhi ataupun memenuhi kemampuan infrastruktur sedia ada.

Tanah runtuh dan banjir kilat

Berkenaan tanah runtuh, tebing runtuh dan banjir kilat pula, kata beliau, adalah satu perkara melibatkan hakisan permukaan bumi hasil daripada hujan yang lebat dalam kawasan ‘watershed’ (daerah aliran sungai) iaitu pengaliran air di satu kawasan menghala ke satu jaluran saliran air atau sungai yang hendak dilakukan.

Jadi sekiranya berlaku penebangan pokok dan juga pembersihan kawasan serta perubahan permukaan bumi yang dibuat untuk memberi ruang kepada pembangunan tersebut menurut Fauzi, maka ia akan berlakunya perubahan ‘rate of flow’ ataupun kelajuan air di permukaan di mana akan terus masuk ke aliran-aliran seperti sungai tersebut.

Menurut beliau, antara faktor boleh berlaku banjir kilat adalah disebabkan kawasan hilir (‘downstream’) pada sungai tersebut, di mana kapasiti air untuk dibuang daripada kawasan itu melalui sungai telah melebihi tahap maksima keluasan dan juga kemampuan sungai untuk mengalirkan air ke laut.

“Tambahan pula apabila berlakunya air pasang yang besar. Ia juga melambatkan lagi dia punya ‘flow rate’ ataupun kelajuan air itu untuk disalirkan keluar.

“Sementara berlakunya pula tanah runtuh dan juga tebing runtuh ini adalah kerana berlakunya hakisan-hakisan di dalam kawasan-kawasan yang cerun dan telah digondolkan.

“Tidak ada kaedah penyeliaan laluan air yang yang sepatutnya direka bentuklah untuk menahan daripada air terus menuruni kawasan-kawasan permukaan bumi dengan begitu laju dengan kawasan-kawasan yang begitu luas,” jelas beliau.

Atasi masalah banjir kilat

Fauzi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya berlaku aktiviti penebangan, akan dibuat ‘catch drain’ ataupun parit untuk mengumpulkan air di kawasan lereng bukit supaya dapat dihala tujukan air tersebut ke suatu sistem untuk disalirkan ke dalam sungai ataupun saliran yang sedia ada.

Yang kedua ujar beliau, perlu adanya ‘detention pond’, yang mana perlu ada tempat ruang kolam yang besar sekadar untuk memperlahankan air hujan daripada permukaan bumi.

“(Ia berikutan) supaya tidak kesemuanya dilepaskan ke dalam saliran sungai sedia ada hingga tidak mampu untuk menampung ‘volume’ ataupun jumlah air yang nak disalirkan dalam masa biasa.

“Jadi, apabila ‘detention pond‘ tadi, ini merupakan satu kolam yang disediakan untuk menampung air yang laju daripada permukaan kawasan ‘watershed‘ tersebut.

“Ini supaya ia dapat ditahan sementara waktu di dalam ‘detention pond‘ ini sebelum ia melimpah keluar ke sungai,” jelas beliau.

Perkara itu kata beliau, di antara isu perlu dikaji dan perlu dikenal pasti supaya kawasan hulu daripada sungai tersebut dapat dikawal jumlah air yang di luar jangkaan dan kemampuan sungai ataupun parit telah sedia ada.

Beliau menjelaskan, ia untuk memastikan pengaliran dalam jangka masa boleh menjamin air tidak melimpah keluar daripada tebing sungai ataupun parit tersebut.

Usaha elak Tebing runtuh

Selain itu, berkenaan tebing runtuh pula menurut Fauzi, boleh berlaku apabila dinding-dinding penghadang tebing tersebut tidak mempunyai sistem penyaliran air di dalam tanah.

“Selalunya apabila kita membina tebing, perlu ada apa yang dikenali sebagai ‘weep holes’ ataupun lubang air yang boleh (mengalirkan) air itu keluar daripada tanah di dalam tanah sampai ke dinding untuk dikeluarkan.

“Air tersebut akan dijadikan beban kepada tanah untuk dinding menahan beban air dan juga tanah yang sedia ada. Jadi, saliran di dalam tanah di sebelah dalam dinding penghadang tersebut yang menahan beban daripada tanah yang ditahan.

“Bukit yang ditahan ataupun kawasan tinggi yang tanahnya ada di belakang dinding tersebut perlulah ada saliran air untuk dikeluarkan air daripada di belakang dinding tersebut.

“(Ia) supaya tidak berlakunya tekanan yang lebih kepada dinding untuk menampung beban berlebihan daripada beban tanah yang sedia ada di belakang dinding tersebut,” jelas beliau.

Tambah Fauzi, perkara tersebut juga faktor kedua yang menjadikan tebing dan penghadangnya runtuh membuatkan terjadinya ‘landslide’ (tanah runtuh) dan sebagainya.

Lubang jerlus

Mengenai lubang jerlus di Kuala Lumpur pula kata beliau, ia merupakan satu perkara yang apabila dilihat sebenarnya berlaku pergerakan di bawah tanah sama ada di lapisan ‘limestone’ ataupun batu kapur.

“Batu kapur yang lazimnya berlaku, ada yang sedia ada di kawasan Kuala Lumpur ini di dalamnya dalam lapisan belahan batu kapur tersebut ada ruang-ruang atau rongga-rongga yang menjadi laluan air daripada zaman dahulu beribu tahun.

“Mungkin dahulu lagi ada ataupun rongga-rongga kecil yang memberi laluan kepada laluan air baru. Ini kerana batu kapur sifatnya mudah dicairkan dengan air yang ada.

“Selain sedikit ‘acidity’ ataupun ‘acid rain’ (hujan asid) yang berlaku, (menyebabkan) batu kapur ini akan mudah cair dan memberi ruang yang lebih besar kepada laluan-laluan tersebut.

“Rongga-rongga tersebut makin besar dan ia menjadi satu lapisan batu yang rapuh setelah kita mempunyai beban yang lebih tinggi terhadap di permukaan bumi atas permukaan bumi ini,” jelas beliau.

Jadi perkara tersebut, kata beliau, boleh berlaku pada bila-bila masa apabila lantai batu kapur tersebut menjadi semakin nipis dan beban di atasnya juga iaitu pembangunan sedia ada dan juga saliran air yang berlaku daripada permukaan atas.

“Terutamanya apabila air hujan yang mempunyai kandungan asid ini mempercepatkan penipisan lantai-lantai asal ataupun lantai-lantai ‘limestone rock’ yang sedia ada di bawah permukaan muka tersebut.

“Ini memberi ruang kepada runtuhnya lantai tersebut dan itu yang sering kita tengok dan apa yang berlaku di depan Masjid India tersebut. Itu antara perkara yang berkemungkinan boleh berlaku daripada insiden tersebut.

“Di dalam batu kapur tersebut sudah pasti ada beberapa rongga-rongga dan ruang-ruang yang boleh menjadikan laluan air yang sentiasa menjadi saliran ‘underground’ di bawah tanah kepada keadaan bandar kita ini.

“Jadi, laluan-laluan tersebut boleh juga berlaku apabila laluan sungai di atas permukaan ni diubahsuai oleh pemaju-pemaju perumahan untuk mengelakkan atau ataupun untuk mengoptimumkan kawasan milik mereka dibina semula,” jelasnya.

Tambah beliau, apabila diubah laluan air sungai yang sedia ada tersebut, maka laluan-laluan air di bawah tanah sedia ada akan mencari laluan baharu.

Keadaan tersebut katanya, kemungkinan akan bertemu di kawasan-kawasan yang tidak pernah ada laluan sebelum itu tetapi diterokai oleh rekahan-rekahan batu kapur yang ada.

Menurut Fauzi lagi, perkara tersebut menjadikan satu laluan yang baru ‘bypass’ oleh laluan air di bawah tanah dan perkara itu juga menjadi salah satu faktor di atas ketidakstabilan bumi dari segi struktur.

“Ini di antara faktor yang telah menjadi sebab kepada tragedi runtuhan satu dari tiga blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993.

“Ia melibatkan pergerakan di bawah tanah, saliran air, pengaliran di bawah tanah.

“Ia juga merupakan salah satu faktor yang membuatkan tanah jerlus ataupun robohnya, struktur cerun yang sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan