Apa nasib Mara Digital Mall?
SUASANA lengang di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur, semasa tinjauan dibuat oleh Utusan Malaysia, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Oleh AIDIEL ZABIDI
7 September 2024, 7:00 am
KUALA LUMPUR: Setelah 10 tahun beroperasi, nasib Mara Digital Mall di Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, terus menjadi tanda tanya melihat kepada kehadiran pengunjung yang terus ‘sendu.’
Pembukaan Mara Digital Mall pada 2015 adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Matlamat utama Mara Digital Mall adalah untuk menyedia pusat perniagaan bagi peniaga bumiputera agar mampu bersaing dengan Plaza Low Yat yang dikuasai oleh peniaga bukan bumiputera.
Namun, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, hanya 10 pelanggan dalam tempoh sejam berkunjung ke pusat perniagaan itu yang terletak di tingkat tiga. Ketika tinjauan dibuat hanya 14 daripada 20 kedai yang beroperasi.
Peniaga memaklumkan, situasi lengang seperti itu tidak mengira hari atau masa.
Mungkinkah premis itu akan menerima nasib sama seperti Mara Digital Kuantan dan Johor Bahru yang ditutup pada 2018 dan 2019 apabila penyewa menghentikan operasi disebabkan kadar jualan yang rendah berbanding kos operasi?
Menurut pekerja di kedai alat ganti komputer, Hasif Muhamad Alamgir, 22, dia sudah bekerja di premis berkenaan dua tahun lalu merasai sendiri perniagaan gajet terutama telefon dan komputer di sini bukan sahaja tidak rancak tetapi semakin kurang pelanggan.
“Ramai pekerja ini memberitahu bilangan pelanggan semakin merosot sejak tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira tiga tahun lalu. Mereka yang datang rata-rata pelanggan tetap dan pelanggan sekitar bangunan ini yang terdesak.
“Untuk melihat pelanggan baharu hampir tidak ada dan kewujudan Mara Digital Mall bagi menawar peralatan teknologi seperti tidak diketahui,” ceritanya.
Kata Hasif, dia tahu lebih ramai pelanggan akan memilih ke Plaza Low Yat di Jalan Bukit Bintang jika mahu membeli barangan teknologi.
Menurutnya, Plaza Low Yat sudah wujud sebelum Mara Digital Mall, selain tawaran barangan di situ terlalu banyak selain lokasi yang lebih menarik dengan pusat-pusat beli-belah gah dan tumpuan pelancong.
Pekerja kedai barangan ganti IT, Khaidir Hanit, 38, pula berkata, sejak Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil alih menguruskan sewaan premis, pengurusan dan pemasaran selepas PKP, bilangan pelanggan tidak bertambah tetapi makin berkurangan sehari ke sehari.
“Pada hari bekerja, majoriti pelanggan merupakan mereka yang bekerja di bangunan ini (Bangunan Mara) dan pada hujung minggu, kami cuma dapat kurang 10 pelanggan sehari.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, semakin ramai peniaga bumiputera menutup perniagaan di sini dan beralih jualan secara dalam talian. Mungkin mereka fikir tidak perlu bayar sewa RM1,500 hingga RM3,000,” katanya.
Bagi pekerja barangan komputer, Hayati Aidi, 38, pula, peniaga di Mara Digital Mall perlu mendapatkan sebahagian besar stok mereka daripada pembekal-pembekal di Plaza Low Yat.
“Mungkin pelanggan tidak mahu tunggu lama untuk buat pratempahan. Disebabkan itu mereka memilih untuk mendapatkan stok sedia ada di sana (Plaza Low Yat).
“Peniaga di sini masih boleh terus bertahan kerana kebiasaannya di luar waktu bekerja orang ramai mula berkunjung mencari barang keperluan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Plaza Low Yat yang mempunyai tujuh tingkat mendapti, sebaik pintu bangunan dibuka, ada sahaja pelanggan masuk.
Seorang pekerja warga Bangladesh, Bashir, berkata, perniagaan di sini tidak pernah sunyi kerana menerima pelanggan dari jauh termasuk pelancong.
“Tauke saya tidak perlu buat promosi sebaliknya, di Low Yat ramai tahu. Orang dari Kelantan dan Terengganu jika datang Kuala Lumpur mereka akan ke Low Yat untuk beli komputer atau telefon,” katanya.
Seorang peniaga, Chu Kiang yang memiliki kedai komputer riba, berkata, kedainya mempunyai pelbagai jenama komputer riba dan pelanggan perlu sebut sahaja jenama apa yang dicari.
Menurutnya, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu alat ganti tulen atau tiruan dengan harga yang jauh lebih murah. Namun, kebiasaannya, pelanggan memilih untuk mendapatkan alat ganti tulen kerana harganya murah berbanding tempat lain.
“Kami menyediakan alat ganti tulen dengan harga yang murah menyebabkan pelanggan kerap datang ke sini dan mewar-warkan kepada rakan-rakan selain tidak perlu menunggu lama untuk menukar alat ganti.
“Kemungkinan promosi yang kerap diadakan membuatkan pelanggan tidak jemu mendapatkan barangan yang mereka mahu seperti konsol permainan video, komputer riba dan telefon pintar,” katanya.
Selain di Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Mara Digital Mall turut mempunyai cawangan di Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor.
Bagaimanapun, pada Ogos 2019, KPLB dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu, operasi Mara Digital di Kuantan dan Johor Bahru telah dihentikan disebabkan kadar jualan yang rendah.
Katanya, Mara Digital Kuantan dihentikan operasi pada Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pula pada Februari 2019.
Menurut KPLB, penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi di premis berkenaan setelah kadar jualan tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan