Banjir: Bantuan pesawah terjejas akan dinilai

Banjir: Bantuan pesawah terjejas akan dinilai
September 25, 2024


ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa anggaran kerugian melibatkan kawasan penanaman padi dan pertanian di negeri ini adalah mencecah RM10 juta.

Menurut beliau, anggaran kerugian tersebut hanya membabitkan kawasan di bawah pengurusan Jabatan Pertanian Negeri Kedah dan tidak termasuk yang diurus oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kerosakan padi paling tinggi iaitu bernilai RM8.2 juta, manakala pertanian agro makanan yang lain, seperti cili, cendawan dan sebagainya bernilai RM60,000.

“Kerugian itu melibatkan 999 petani dengan keluasan 2.986 hektar,” jelas beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Setakat ini kata Sanusi, pihak kerajaan belum lagi memutuskan peruntukan untuk bantuan sumbangan kepada pesawah yang mengalami kerugian kerana baharu di peringkat penilaian.

Namun katanya, untuk membaik pulih infra dan jalan-jalan ladang, sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan memandangkan kerosakan dialami pada banjir kali ini agak besar, juga menyebabkan pengeluaran padi negara terjejas.

Dalam pada itu, beliau berpandangan sekarang ini sudah berada di fasa akhir iaitu pasca banjir di mana pelbagai masalah lain akan timbul.

“Akan ada pembaikan infra, titi yang tak selamat digunakan, mungkin juga tebing runtuh dan lain-lain. Tetapi semua itu akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu semua ADUN dan Ahli Parlimen akan menerima sumbangan melalui peruntukan Pejabat Menteri Besar Kedah.

Sumbangan itu katanya untuk membolehkan ADUN dan Ahli Parlimen membantu penduduk yang tercicir daripada menerima bantuan selepas pasca banjir ini. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

Ulasan