Bencana alam: Bilakah Malaysia mahu contohi Jepun?
September 30, 2024
BANJIR pada istilah umum adalah limpahan air daripada sungai atau tempat takungan air mengenai kawasan yang biasanya kering.Ia merupakan bencana alam yang berlaku disebabkan oleh perubahan cuaca yang berlaku di seluruh dunia.
Setiap tahun, beberapa negeri seperti Kedah, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak sering kali ditimpa musibah banjir.
Sejak kebelakangan ini pula, kejadian banjir kilat terutamanya di kawasan bandar semakin menunjukkan peningkatan.
Taburan hujan yang tinggi, kawasan pembangunan padat, sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik serta masalah pencemaran longkang dan saliran dilihat menjadi penyumbang utama kepada masalah itu.
Banyak kejadian banjir kilat berlaku tanpa sebarang amaran menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka kerana ia terjadi dengan cepat.
Pensyarah kanan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Dr Nik Elyna Myeda Nik Mat berkata, Malaysia seharusnya menjadikan negara Jepun sebagai ‘role model’ dalam menghadapi bencana alam.
Kedah kini dilanda gelombang kedua banjir besar sejak semalam, 29 September 2024. (FOTO: Facebook Mahdzir Hasan Det)
“Persediaan menghadapi bencana seperti banjir dan tanah runtuh yang sering berlaku di negara kita adalah di antara contoh bencana yang boleh menggunakan suatu sistem persediaan menghadapi bencana yang lebih baik,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, Jepun bukan sahaja dikenali sebagai negara matahari terbit malah sememangnya telah terkenal dengan bandar raya termaju dengan sistem teknologi dan kejuruteraan yang canggih dan kehadapan.
Nik Elyna Myeda Nik Mat
“Kemajuan negara tersebut dapat dilihat di dalam persediaan menghadapi pelbagai jenis bencana alam yang sering dihadapi oleh penduduk di Jepun.
“Pelbagai bencana alam yang dihadapi oleh penduduk Jepun sejak sekian lama menyebabkan penduduk dan kerajaan negara itu sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan berhati-hati agar kemalangan jiwa dan jumlah yang terkorban dapat dikurangkan.
“Ini bertujuan bagi proses menyelamat menjadi lebih teratur, selesa dan selamat untuk segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan tua dan kanak-kanak,” jelasnya.
Tambah beliau, kemajuan sistem persediaan menghadapi pelbagai bencana di Jepun tidak dapat disangkal lagi dan merupakan antara yang terbaik di dunia.
“Contohnya, persediaan menghadapi bencana yang meliputi segala aspek kehidupan penduduk di bandar kecil seperti bandar Echizen yang terletak di wilayah Fukui, Jepun walaupun hanya mempunyai populasi dalam 20,000 orang,” ujarnya.
Katanya lagi, persediaan kerajaan tempatan bandar Echizen menghadapi bencana seperti gempa bumi dan tsunami tidak tertumpu kepada tahun-tahun tertentu sahaja.
Bandar bandar Echizen di Jepun yang terkenal sebagai pusat pelancongan didiami populasi seramai 20,000 orang. (FOTO: Town-Ezhizen.jp)
“Malah, persediaan merangkumi aspek latihan staf kerajaan tempatan dan penduduk yang berjadual, pemeriksaan bekalan makanan dan bahan simpanan kecemasan untuk digunakan semasa bencana dan pemeriksaan lokasi pusat pemindahan sementara secara berkala,” katanya.
Di samping itu, ujar beliau, Jepun sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Agensi Meteorologi Jepun, Kerajaan Wilayah dan pelbagai agensi kerajaan lain bagi memastikan persediaan menghadapi bencana berada di tahap tertinggi.
“Kemajuan sistem persediaan menghadapi bencana ini mengambil kira pelbagai aspek dan sentiasa belajar dari kesilapan yang dihadapi di masa lalu,” kongsi beliau.
Tambah beliau, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan didapati sistem ini turut mengambil aspirasi ‘Kansei’ yang sebenarnya berasal dari suatu sistem rekabentuk yang mengambil kira elemen psikologi kemanusiaan dalam pemikiran.
Kejadian banjir kilat yang berlaku secara besar-besaran di Lembah Klang terutama di Wilayah Persekutuan dan Selangor menjejaskan penduduk.
“Sebagai contoh, di bandar Echizen, sistem akses bahan keperluan sewaktu bencana telah ditambah baik, berdasarkan kemudahan akses, di mana kunci stor bahan keperluan semasa bencana tidak lagi dipegang oleh seorang pegawai kerajaan tempatan, tetapi boleh diakses secara terus di stor tersebut dengan menggunakan sistem kunci bernombor kod.
“Ini bukan sahaja mempercepatkan akses terhadap bahan makanan tersebut semasa bencana malah mengelakkan masalah seperti kehilangan kunci atau terpaksa menunggu pegawai yang bertanggungjawab untuk tiba ke lokasi stor tersebut,” jelas beliau.
Nik Elyna Myeda berkata, sistem persediaan menghadapi bencana di Echizen, Jepun turut mengambil kira sekecil-kecil tindakan dalam sistem tersebut sehingga penelitian terhadap proses menyelamat yang lebih besar seperti mengambil kira jumlah populasi penduduk bagi setiap pusat pemindahan, kaedah pemindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain serta memastikan terdapat kepelbagaian di dalam kaedah berhubung antara satu sama lain.
Orang ramai terperangkap dalam kejadian banjir kilat berhampir Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Beliau menyatakan, elemen kemanusiaan yang diterapkan di dalam pemikiran dan kaedah sistem ini telah ditambah baik dari masa ke semasa dan sentiasa mengambil kira kemudahan psikologi dan perasaan manusia dalam sistem tersebut.
“Walaupun bandar Echizen merupakan satu bandar yang kecil, sistem persediaan menghadapi bencana adalah sangat maju dan sentiasa berevolusi ke arah yang lebih baik dari masa ke semasa.
“Ia membuktikan bahawa Jepun sentiasa ke hadapan dalam persediaan menghadapi bencana dan termasuklah memastikan setiap persediaan tersebut dapat digunakan semasa dan selepas bencana berlaku, sebelum penduduk dapat pulang kembali ke rumah masing-masing dengan selamat,” tambahnya.
Justeru, beliau berkata, Malaysia juga boleh menambah baik sistem menghadapi bencana walaupun bencana alam yang menimpa negara tidak seburuk yang dihadapi oleh negara Jepun.
Insiden kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024 yang menyebaban seorang pelancong dari India terjatuh ke dalamnya dan tidak ditemui sehingga hari ini telah menggemparkan Malaysia.
“Sikap waspada sebelum berlaku bencana harus dipelajari dan sistem persediaan menghadapi bencana di Malaysia boleh ditambah baik agar kemalangan jiwa dan kesan bencana yang dihadapi mangsa boleh dikurangkan.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bukan sahaja suatu pusat yang mempunyai kapasiti ruang untuk berkumpul, malah satu pusat yang mempunyai kemudahan fasiliti yang mencukupi, selamat dan selesa,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan. penyediaan satu pusat pemindahan yang cukup, selamat dan selesa ini boleh mengambil kira aspek ‘Kansei’ berdasarkan keperluan penduduk setempat dari segi fungsi dan jenis penggunaan.
“Sebagai contoh, lokasi pusat pemindahan mengambil kira jenis demografi di kawasan tersebut, jumlah fasiliti tandas yang merangkumi keperluan warga emas dan orang kurang upaya, serta penggunaan bangunan sedia ada yang lebih sesuai untuk setiap kawasan yang menghadapi bencana.
“Sesungguhnya, persediaan menghadapi bencana bukan sahaja memerlukan belanjawan malah memerlukan suatu anjakan yang ditambah baik dari masa ke semasa, terutamanya di dalam keadaan perubahan cuaca iklim yang mendadak dan jumlah populasi bandar yang meningkat turut memerlukan suatu persediaan yang holistik,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan