‘Coach Haizan’ calon PN di PRK N.29 DUN Mahkota

‘Coach Haizan’ calon PN di PRK N.29 DUN Mahkota
September 10, 2024


KLUANG: Tokoh sukan, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ telah dipilih sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Beliau juga adalah seorang bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1982 dan pernah mewakili Johor FA di dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Piala Razak dan Piala Presiden.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin pada majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama (BGU) parti itu bagi PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini, sebentar tadi.

Menurut Hamzah, Coach Haizan merupakan anak jati Kluang, dilahirkan di Layang-layang dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana di mana bapanya adalah seorang pesara kerajaan di Pejabat Kesihatan Daerah Kluang.

“Pendidikan awal beliau di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmud 1 Kluang, kemudian terus ke Sekolah Tinggi Kluang. Setelah itu beliau terus menabur bakti dan berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan sebagai Pembantu Sukan.

“Berkat komitmen dan integriti yang utuh, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam pada tahun 2002 dan juga 2016,” ujarnya.

Kata Hamzah lagi, ketika berada di dalam perkhidmatan Coach Haizan telah dianugerahkan Diploma Of Fitness pada Jun 1995 oleh The Canadian Association of Health Physical Education And Recreation dengan kerjasama The Canadian International Development Agency.

“Kerjaya bola sepak beliau diteruskan sebagai pemain semi pro Negeri Johor dan pernah mewakili Negeri Johor ke Pertandingan Piala Emas Raja-Raja.

“Kini beliau merupakan seorang jurulatih bola sepak dengan memegang lesen B dalam bidang kejurulatihan.

“Disiplin, ketegasan dan keakraban beliau dengan anak-anak muda telah menjadikan beliau terkenal dengan gelaran ‘coach’ di kalangan masyarakat Kluang yang majmuk,” katanya.

Katanya, Coach Haizan pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk beberapa pasukan bola sepak seperti Johor Indian yang bersaing di dalam pertandingan Piala Bardhan dan pasukan Remaja Cina Kluang yang bersaing di pertandingan Chinese Kluang Cup.

Jelas Hamzah, penglibatan dan sumbangan beliau dalam pembangunan sukan dan modal insan setempat serta personaliti beliau yang mesra dan peramah menjadikan ‘Coach’ sebagai aktivis masyarakat yang cukup disenangi di kalangan warga Kluang pelbagai peringkat.

Katanya, selain menjadi jurulatih, beliau juga merupakan pengusaha dalam bidang perkhidmatan makanan, selain telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga orang anak-anak.

“‘Coach’ juga merupakan Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Kluang yang sehingga kini bertanggungjawab menyelaras 28 KRT di dalam Daerah Kluang,” ujarnya.

Kata Hamzah lagi, Coach Haizan juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang dan Presiden Kelab Sukan Dan Kebajikan Intan Kluang.

“Kami pimpinan PERIKATAN NASIONAL yakin dengan pengalaman yang sarat yang ada dengan ‘Coach’ yang senantiasa bersama suara generasi muda dan denyutan nadi masyarakat akan membawa Kluang dan DUN Mahkota muncul sebagai kawasan yang maju, harmoni dan sejahtera,” kata beliau.

Katanya lagi, keyakinan Coach Haizan bahawa wadah perjuangan BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL adalah masa depan untuk Negeri Johor di mana beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja BERSATU Bahagian Kluang.

Turut berucap di dalam majlis itu ialah Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin

Antara pimpinan utama yang hadir ialah Pengarah Utama PRK DUN Mahkota, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary dan Datuk Awang Solahuddin Hashim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH.

Sementara Barisan Nasional (BN) pada Sabtu mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon PRK DUN Mahkota pada 28 September ini. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

Ulasan