DHPP terus teguh bersama PAS di usia 20 tahun
September 8, 2024
JERANTUT: Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kali Ke-9 amat istimewa kepada anggota sayap itu kerana ia dirayakan pada usia DHPP memasuki tahun yang ke-20 penubuhannya.
Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan berkata, selama 20 tahun ini, mereka telah melalui pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan yang sebenarnya mematangkan DHPP untuk terus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan organisasi politik lain.
“Nama DHPP bukan sahaja dikenali oleh masyarakat bukan Melayu sahaja tetapi nama DHPP tidak lagi asing di kalangan masyarakat Melayu. Dua dekad bukanlah satu tempoh yang pendek. Bukan semua organisasi mampu untuk terus kekal bertapak dengan menghadapi cabaran dan ujian yang mendatang.
“Ada parti politik yang wujud ketika menjelangnya Pilihan Raya namun berkubur selepas tewas dalam pertandingan tersebut. Kita beruntung kerana kita bernaung di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
“PAS sebuah parti yang wujud bukannya kerana ideologi manusia tetapi berlandaskan kepada agama Islam yang mengajurkan untuk berlaku adil kepada semua pihak,” ujarnya pada Konvensyen yang berlangsung di Hotel Darul Makmur, di sini hari ini.
DHPP juga katanya, beruntung bila berada di bawah PAS kerana parti ini sentiasa mengingatkan DHPP supaya sentiasa bekerja sama dalam berbuat baik dan jangan lakukan yang sebaliknya.
“Bertepatan dengan firman-Nya yang ang bermaksud “Bertolong-tolonganlah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kejahatan”,” ujarnya mengungkap matan Arab ayat al-Quran itu.
Balsubramaniam dalam ucapannya itu turut mengimbas penubuhan sebagai salah sebuah sayap daripada kepimpinan PAS dianggotai mereka yang bukan beragama Islam tetapi menyokong perjuangan PAS dan ingin turut sama berjuang bersama PAS.
Menurut beliau, sebelum wujudnya DHPP, organisasi ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS, sebelum dinaikkan taraf sebagai Dewan pada 23 Mei 2010.
Namun katanya, keahlian bukan Islam dalam PAS sebenanya telah dibincangkan sejak 3 Oktober 1956 lagi dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Muhammad pernah mencadangkan pada 3 Disember 1961 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu.
Pun begitu jelasnya, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan, tetapi selepas itu, pelbagai usaha untuk merealisasikan perkara ini hingga ianya berjaya dilaksanakan apabila Kelab Penyokong PAS diwujudkan yang membawa kepada kewujudan DHPP.
“Kelab Penyokong PAS (KPP) yang telah dilancarkan pada 11 Mac 2004 oleh almarhum Tuan Guru Tan Sri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala DHPP telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2010 oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
“(Iaitu) di Dewan Pejabat Tanah Klang, Klang Selangor sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong yang bukan Islam,” ujar beliau mengimbau sejarah penting tersebut.
Beliau memberitahu hasrat meletakkan DHPP berada setaraf dengan Dewan-Dewan yang berada di dalam PAS, sebagaimana Dewan Ulamak yang sebelum ini status ‘Urusan Ulamak’ di peringkat PAS Kawasan tetapi sekarang telah dinaik taraf sebagai Dewan.
“Apa yang saya maksudkan setaraf ini adalah yang berkaitan dengan kedudukan DHPP sebagai sayap rasmi PAS. Sekiranya pindaan Perlembagaan PAS diluluskan maka kemungkinan ini adalah konvensyen kita yang terakhir.
“(Iaitu) sebelum DHPP menjadi sayap yang benar-benar berperanan sebagai sayap yang baharu seperti Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang tertera di dalam Perlembagaan PAS.
“Ini adalah tanda kesungguhan dan keseriusan PAS untuk meletakkan peranan kita bagi mendekati dan menarik sokongan masyarakat bukan Melayu atau bukan Islam kepada PAS,” maklumnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan