Diberi habuan ambil, tapi tetap undi PN

Diberi habuan ambil, tapi tetap undi PN
September 11, 2024



KLUANG: Para pengundi yang akan memilih bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota disaran mengambil apa sahaja habuan mungkin bakal diberi parti tertentu sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal berkata, sungguhpun begitu, dalam soal memberi undi, mereka diminta tetap memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Saya kena ucapkan tahniahlah kepada penduduk di DUN Mahkota. Yang saya lihat yang viral di _Facebook_, di media sosial, tiba-tiba beras tempatan di DUN Mahkota ini banyak sangat.

“Kena hati-hati. Dibagi, ambil. Tapi undilah PERIKATAN NASIONAL,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama (BGU) parti itu bagi PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini malam tadi.

Kata beliau, di negeri itu, pembangkang tidak menggunakan konsep pembangkang, tetapi menggunakan konsep sebagai ‘pengimbang kerajaan’ bagi menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri sedia ada.

“Kita di Negeri Johor kita perlukan pengimbang kerajaan yang kuat. Di Negeri Johor tak ada pembangkang, dia ada pengimbang kerajaan. Jadi kita memerlukan pengimbang kerajaan yang kuat.

“Tujuannya apa? Untuk menegur, menasihati jika kerajaan ini melakukan kesilapan. Contohnya baru-baru ini viral kes pencemaran di beberapa daerah di Negeri Johor.

“Belum lagi, viral juga di akhbar, katanya ada kematian yang disebabkan oleh kelaparan. Jadi kita perlukan pengimbang kerajaan yang kuat,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong dalam ucapannya turut berharap agar semua jentera PERIKATAN NASIONAL sama-sama bekerja bagi memastikan kemenangan calon mereka.

Dalam majlis yang sama, nama calon bagi PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN Mahkota diumumkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.

Tokoh sukan, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ yang juga bekas pegawai Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah dipilih sebagai calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN Mahkota itu.

Coach Haizan yang juga seorang bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1987 dan pernah mewakili Johor FA di dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Piala Razak dan Piala Presiden adalah merupakan Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Kluang.

Selain Dr Shahrudin dan Hamzah, turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Ustaz Abdullah Husin yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Antara pimpinan utama yang hadir ialah Pengarah Utama PRK DUN Mahkota selaku juga Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary dan Datuk Awang Hashim yang mewakili PAS Pusat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH.

Sementara Barisan Nasional (BN) pada Sabtu mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka bagi PRK itu. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan