‘Green wave’: PAS tidak gentar asakan musuh

‘Green wave’: PAS tidak gentar asakan musuh
September 11, 2024

Gelombang hijau PAS mencerminkan kebangkitan dan kesedaran politik khususnya dalam kalangan umat Melayu Islam.

KUALA LUMPUR: “Tiada satu parti di Malaysia yang secara spesifik dikaitkan dengan warna hijau kecuali PAS.”

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, lantaran itu apabila PAS menerima lonjakkan besar sokongan pengundi khususnya orang Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun 2022 lalu, Malaysia melalui negeri-negeri dan kawasan Parlimen majoriti Melayu dikatakan telah dilanggar oleh ‘green wave’ atau gelombang hijau.

“Seingat saya, penganalisis politik veteran dari akhbar The Star, Joceline Tan antara yang pertama menggunakan istilah ‘green wave’ ini, tetapi tiada konotasi negatif dari ulasan beliau.

“Sesungguhnya gelombang hijau ini mencerminkan kebangkitan atau kesedaran politik khususnya dalam kalangan umat Melayu Islam, yang telah buat pertama kali bangkit membuat perubahan dengan rata-rata menolak calon-calon Umno termasuk Pakatan Harapan (PH) di kawasan-kawasan Melayu; dan secara terbuka menyokong calon-calon PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang lebih meyakinkan mereka,” katanya dalam media sosial miliknya.

Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dua parti utama yang bertanding adalah Republikan dan Demokrat, dan Republikan dikaitkan dengan warna merah manakala Demokrat biru.

Tambahnya, apabila ada lonjakkan sokongan untuk satu-satu calon contohnya jika North Carolina di Amerika Syarikat cenderung pada calon Demokrat, Kamala Harris, maka negeri itu dikatakan diliputi gelombang biru atau ‘Blue wave’.

Sementara di Malaysia, ujar beliau, hijau dikaitkan dengan PAS.

“Hijau juga warna Islam dan orang Melayu adalah Islam mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau menyatakan, ini bermakna gelombang hijau adalah gelombang kebangkitan politik umat Melayu Islam.

“Tiada unsur negatif pun dari kebangkitan itu kecuali kematangan politik umat Melayu yang menyokong parti yang mahu memperjuangkan penyatuan politik bangsa mereka agar orang Melayu kembali memiliki kekuatan politik cerminan pada ramainya bilangan mereka dalam negara.

“Menurut rekod, yang mula-mula ‘spin’ dan memberikan konotasi negatif pada istilah ini adalah pimpinan DAP bermula dengan tokoh veterannya Lim Kit Siang.

“Beliau sedar DAP dan PH terancam.

“Beliaulah antara yang terawal mengaitkan kebangkitan atau kesedaran ini dengan kononnya ‘Islamism’ yang cenderung pada ekstremisme agama ala Taliban yang sememangnya menjadi mantra pimpinan partinya untuk memburukkan PAS,” tegasnya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, PAS sepatutnya tidak ‘bimbang’ (atau ‘shy away’) dengan persepsi negatif yang mahu digambarkan oleh musuh dan mengapa perlu kita terjerat dengan kerja-kerja jahat mereka?

Beliau menegaskan bahawa PAS perlu bangkit dan beri penjelasan kerana kita sebuah parti siasah, tarbiyah dan dakwah.

“PAS sepatutnya berasa selesa dan berbangga dengan istilah ‘gelombang hijau’ itu kerana hakikatnya mencetuskan gelombang itu bukannya sesuatu yang mudah.

“Berpuluh tahun dan silih berganti pimpinan PAS berusaha membangkitkan kesedaran politik umat Melayu khasnya agar menolak Umno dan cenderung pada parti yang memperjuangkan Islam,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa Gelombang 2022 sesungguhnya adalah satu pencapaian politik terbesar buat PAS.

“Ia bukan hanya menjadi kebanggaan ahli dan akar umbinya malah umat Melayu Islam yang bangkit itu sendiri berpuas hati apabila mereka melihat kesan dari kebangkitan ini, pimpinan Melayu menjadi semakin bertanggungjawab, nasib dan masa depan mereka semakin terbela.

“Rakyat khasnya umat Melayu Islam melihat dalam huru-haranya ketempangan dan kepincangan politik pra 2022, dengan ramainya pimpinan Melayu membikin onar terjerumus dengan rasuah dan salah guna kuasa sehingga menconteng arang di wajah bangsa sendiri sedang pada waktu yang sama anak-anak Melayu terbiar dan terabai, PAS tidak jemu memberikan kesedaran,” katanya lagi.

Menurut beliau, apabila Umno tumbang pada PRU 2018, PAS bersama bangkit mencetuskan inisiatif Muafakat Nasional (MN) untuk mengembalikan maruah dan harga diri ummah, bahawa umat Melayu berupaya melahirkan kepimpinan yang berintegriti dan pimpinan yang bertaqwa sekiranya kuasa politik Melayu bersatu padu, bermuafakat dengan berpegang teguh pada ‘tali Allah’.

“Pasca era MN itu, di mana Umno dan PAS buat pertama kali dalam sejarah berjalan seiringan, umat Melayu Islam dan rakyat Malaysia berasa lega,” jelasnya.

Tambah Roslan, apabila dua kuasa politik itu tidak lagi berseteru sebaliknya bersatu demi kebaikan, ia akan melimpah kepada rakyat dan negara.

“Berbohonglah kita kiranya menafikan kesan permuafakatan itu telah tertunjam di hati ramai dan masih terasa kesannya sehingga hari ini walau kedua parti sudah berpisah. (Cuba buat carian pada klip video aktivis kontroversi DAP, Hew Kuan Yau yang pernah mengingatkan ‘audience‘nya akan bahaya buat DAP sekiranya PAS dan Umno bersatu).

“Ringkasnya apabila Presiden Umno melalui ‘ijtihad politiknya’ mengambil keputusan memutuskan hubungan PAS dan Umno menjelang PRU 2022, ramai yang kecewa dan marah.

“Ramai pimpinan Umno diambil tindakan, dipecat dan digantung malah sehingga hari ini Umno yang rosak kerana ijtihad itu dan tinggal cuma 26 kerusi Parlimen masih merasa bahang perpecahan dan tidak puas hati dari dalam,” ujar beliau.

Dalam pada itu menurutnya lagi, jangan memandang enteng akan kematangan berpolitik umat Melayu kerana setelah hampir 67 tahun Merdeka pada hari ini.

“Ini kerana mereka sudah bijak membuat perhitungan dan pertimbangan, tidak lagi mudah disorong-sorong dan ditindik-tindik hidung seperti dahulu,” tegasnya.

Beliau berkata pada PRU 2022 lalu, umat Melayu menegaskan bahawa kepimpinan bangsa itu wajar bertukar tangan dan Umno yang diberi kepercayaan selama ini terbukti telah mengkhianati mereka terutama apabila Presidennya menolak jalan perpaduan dan memilih jalan mengikut ijtihad politiknya dan akhirnya bersekongkol dengan PH yang didominasi DAP.

“PRU 2022 rata-rata umat Melayu terutama dalam kalangan anak-anak muda termasuklah kakitangan kerajaan telah dengan lantang dan berani menuntut perubahan.

“Perubahan itu benar-benar berlaku apabila Umno dikesampingkan dan PAS serta Perikatan Nasional menjadi pilihan mereka.

“Kerusi-kerusi Melayu yang selama ini secara tradisional mengangkat calon Umno dan PH sekalipun telah jatuh ke tangan PAS dan PN (termasuklah Arau, Padang Terap, Pokok Sena, Gerik, Parit Buntar, Pasir Salak, Jerantut, Rompin, Gua Musang, Jeli, Tanjung Karang, Kepala Batas, Permatang Pauh, Jasin dan lain-lain).

“Gelombang hijau adalah transformasi kebangkitan politik umat Melayu yang sewajarnya dibanggakan, dihormati dan dipelihara.

“Dengan kemenangan ini, PAS dan PN perlu bekerja lebih kuat lagi kerana ramai yang telah berkorban membangkitkan perubahan ini, jangan mereka dikecewakan,” jelas beliau.

Justeru katanya, melalui Muktamar PAS ke-70 kelak, pimpinan dan perwakilan PAS harus bermuhasabah.

“Kita cita-citakan sejak PAS masuk Pilihan Raya Persekutuan 1955 dahulu dan 15 kali PRU, bahawa kita mahu menyatukan umat Melayu Islam di bawah panji-panji kita.

“Kita mahu kekuatan politik itu diberikan pada kita, hari ini Allah SWT takdirkan ‘gelombang hijau’ ini memenuhi apa yang kita impikan.

“Jangan tunduk pada asakan musuh, sebaliknya gilap dan perkuatkan lagi gelombang ini sehingga saki baki kerusi-kerusi Melayu Islam yang ada pada tangan Umno, PKR dan PAN akan kita tawan dengan lonjakkan gelombang ini.

“Kepada rakyat Malaysia amnya kita perjelaskan dengan hujah dan fakta, jangan termakan hasutan Kit Siang dan juak-juaknya, PAS berpolitik untuk menyelamatkan negara dan rakyat berbilang kaumnya,” ujar beliau.

PAS menurut Roslan, bukannya satu ancaman, ekstremis atau militan sebagaimana mahu digambarkan musuh-musuhnya, tetapi PAS dan PN berhasrat membina sebuah Malaysia yang sejahtera, adil buat semua kaum dan agama, bebas dari rasuah serta salah guna kuasa pimpinannya.

“Kami ada bukti hidup mentadbir empat buah negeri, adililah kami dan jangan termakan dakyah musuh kami. Yang ekstrem dan rasis sebenarnya mereka bukan kami.

“Gelombang Hijau ini akan kekal memandu Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Selamat bermuktamar, Kerdau tunggu kami datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan