Isu Teresa Kok: ‘Suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar’


Isu Teresa Kok: ‘Suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar’
September 11, 2024

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: PAS mendapati kenyataan Naib Presiden DAP, Teresa Kok baru-baru ini berhubung langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat penyedia makanan memiliki sijil halal bersifat terburu-buru.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu juga tidak tertib, selain seolah-olah sengaja memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbirannya di negara ini.

“Sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Teresa Kok sepatutnya sedar, semua dasar baharu kerajaan harus melalui proses yang teratur dan panjang, termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai oleh DAP, sebelum boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian JAKIM, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya beliau memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini.

“Sebaliknya, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, susulan itu, sebagaimana dijangka beberapa laporan polis dibuat terhadap Teresa di seluruh negara, sekali gus mendorong polis menyiasatnya di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, katanya, sebagai ahli politik veteran, Teresa Kok seharusnya sedar, kenyataan itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini, khasnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) persijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan-Islam, Teresa Kok turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka.

“Ini sudah tentulah suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah.

“Jika diteliti, jelas bahawa cadangan JAKIM itu hanya berkait dengan orang Islam, iaitu hak mereka untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya.

“Dengan kata lain, restoran dan kedai makan milik bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal dan tidak juga dibenarkan ‘memberi gambaran’ bahawa produk yang ditawarkan ‘boleh dinikmati oleh orang Islam’,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan lagi bahawa kes-kes semasa berkait keadaan itu banyak berlaku sehingga menimbulkan isu kebolehpercayaan dan syak wasangka dalam kalangan rakyat.

Menurutnya lagi, walaupun PAS bersetuju bahawa orang Islam harus lebih prihatin dalam pilihan mereka, namun kerajaan juga ada peranannya dalam memastikan keadaan itu lebih terkawal.

Selain itu jelas beliau, PAS juga percaya pemilik restoran dan kedai makan juga bertanggungjawab menyediakan maklumat yang jujur dan lengkap mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka, terutama sekali dalam isu halal-haram.

“PAS memperakui hak Teresa Kok menyuarakan pandangan beliau secara bebas, namun beliau juga perlu lebih bertanggungjawab dan jujur, selain memastikan pandangan dan pendapat itu tidak tersasar sehingga menimbulkan polemik dan ketegangan dalam masyarakat.

“Dalam isu ini, PAS percaya Teresa Kok tidak bertindak mengikut pertimbangan yang wajar dan objektif, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen untuk tujuan-tujuan politik kepartian dan peribadinya sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan