‘Jangan sentuh isu Islam di Malaysia!’- Afnan Hamimi


‘Jangan sentuh isu Islam di Malaysia!’- Afnan Hamimi
September 11, 2024

Afnan Hamimi dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Temerloh, Pahang, pada malam ini, 11 September 2024.

TEMERLOH: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa seorang ahli parlimen daripada DAP agar tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam di Malaysia dan tidak menyentuh isu berkenaan.

Berucap dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65 di Kompleks Al-Makmur di sini, malam ini, beliau menyatakan bahawa ahli parlimen DAP berkenaan tidak memahami mesej yang disampaikan oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

“Kamu boleh suarakan pandangan, tapi kamu tak boleh masuk campur urusan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

“Jangan sentuh isu Islam di Malaysia!

“Nampaknya kamu tidak serik. Kamu tidak faham mesej yang telah pun rakyat berikan dalam pilihan raya. Bahkan kamu bertindak menjadi ‘abang besar’ dalam kerajaan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri; Naib Ketua DPPM, Ustaz Hanif Jamaluddin; dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh.

Tambah Afnan, sehingga hari ini tidak ada mana-mana pemimpin kerajaan yang berani menegur tindakan ahli parlimen DAP berkenaan.

“Sehingga hari ini tidak ada mana-mana pun pemimpin kerajaan yang berani bersuara lantang menegur, menyuruh DAP menutup mulut daripada terus bercakap tentang hal ehwal Islam, tidak ada,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan ahli parlimen Alor Setar menegaskan bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan dengan membiarkan mereka terus berada ditampuk kepimpinan negara.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan, mereka terus berada di tampuk kepimpinan, merangka pelbagai perkara yang mungkin menjejaskan apa-apa yang telah berlaku, keharmonian, perpaduan.

“Kalau kita bercakap tentang pertahankan agama Islam, mereka menyentuh mengatakan ini 3R. Tapi kalau kamu menyentuh agama, menyentuh Melayu, menyentuh (isu) Raja, kalau kami menegur, kamu kata kami 3R.

“Kalau kami tidak bercakap, siapa lagi nak bercakap mempertahankan bangsa, agama dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan