Jentera PN komited pastikan kemenangan Coach Haizan



Jentera PN komited pastikan kemenangan Coach Haizan
September 18, 2024

Deki Zulkanain (depan) memastikan kempen sempena PRK Mahkota dalam usaha memastikan kemenangan Coach Haizan, berjalan lancar.

KLUANG: Jentera PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bertungkus lumus sedang berkempen dalam usaha mereka untuk memenangkan calon parti itu, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.

Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Indah Jaya, Deki Zulkanain Mohamed Dahlan, 50, berkata, walaupun kawasan itu sebelum ini dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), namun beliau melihat terdapat perubahan sikap pengundi di situ yang boleh meningkatkan undi PN.

“Alhamdulillah, setakat beberapa hari awal kempen kita di sini, pengundi-pengundi dalam kawasan ini ada berpihak kepada kita.

“Sebelum ni pengundi di kawasan Indah Jaya ni adalah (tanda) ‘merah’, mereka lebih banyak ke PH.

“Tapi buat masa sekarang, bila PDM ini kita buka di kawasan penempatan penduduk, jadi respons mereka positif.

“Kalau satu lorong tu dapatlah lima, enam keluarga yang menyokong kita setakat ini,” katanya.

Menurutnya lagi, ia berdasarkan culaan umum, namun jenteranya akan mula melakukan culaan lebih terperinci hari ini dengan bantuan daripada jentera negeri angkat PN Melaka.

“Esok (Rabu), saya difahamkan jentera bantu dari Melaka akan tiba untuk membantu kami membuat culaan. Jadi kita akan dapat info yang lebih tepat sokongan pada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu tinjauan Harakahdaily di PDM Indah Jaya, di sini, malam tadi, bagi melihat perkembangan kempen PN di situ.

Tambahnya, kawasan tersebut adalah kawasan majoriti pengundi Cina yang meliputi sekitar 70 peratus daripada keseluruhan pengundi menjadikan kawasan itu sebelum ini sebagai pro-PH.

“Bagi pengundi Cina kita dapatkan bantuan jentera sahabat-sahabat kita dari parti Gerakan dan juga Bersatu Bersekutu untuk berkempen di sini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa keretakan hubungan antara BN dan DAP seperti dalam isu persijilan halal melibatkan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok ada memberi kesan kepada undi BN di situ.

Mengulas tentang calon PN, Coach Haizan, beliau berkata, pemilihan tokoh sukan itu merupakan satu keputusan yang tepat dibuat pucuk pimpinan parti.

“Coach Haizan sudah dikenali di sini. Sebab masa muda-muda dulu dia aktif mewakili Johor dalam bola sepak. Lepas tu dia jadi Coach bola melatih ramai remaja.

“Bukan Melayu sahaja, remaja Cina, remaja India pun dia latih. Jadi, dia memang calon sesuai untuk semua bangsa,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, Coach Haizan berhadapan dengan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang dalam pertembungan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula Sabtu sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September 2024.

Tarikh 28 September pula ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.

Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.

Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu di mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di situ, sebanyak 54 peratus daripadanya adalah Melayu, manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

Ulasan