Kedah ada ‘precedent’ tuntut RM50 juta dari P Pinang



Kedah ada ‘precedent’ tuntut RM50 juta dari P Pinang
September 10, 2024

ALOR SETAR: Isu tuntutan caj air mentah Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang, bukanlah isu baru walaupun negeri ditadbir DAP itu wajar menunaikan RM50 juta setahun, namun kenyataan berlaku sebaliknya.

Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Muhammad Ehsan Shaari berkata, sikap Pulau Pinang itu menunjukkan kurangnya kesedaran akan tanggungjawab bersama dalam pengurusan sumber semula jadi yang penting ini.

“Pulau Pinang mendakwa mereka berpegang kepada prinsip hak riparian, yang memberi hak untuk menggunakan air sungai yang mengalir melalui wilayah mereka.

“Namun, walaupun tuntutan itu tidak didasarkan kepada sebarang perjanjian rasmi antara kedua-dua negeri, tetapi Kedah realitinya terpaksa menafikan pembangunan di kawasan Ulu Sungai Muda.

“Ia semata-mata atas tujuan Ulu Sungai Muda dijadikan kawasan tadahan hujan untuk kegunaan negeri-negeri jirannya,” hujah beliau.

Oleh itu ujarnya, tuntutan RM50 juta setahun dari Kerajaan Kedah bertepatan berikutan sumber air mentah itu berada di dalam negeri ini selaku sebagai pemiliknya.

Tegas Ehsan lagi, jika melihat kepada hubungan antarabangsa dan tempatan, tuntutan yang dibuat oleh Kedah dibolehkan dan dianggap wajar.

Malah kata beliau, di seluruh dunia, terdapat banyak kes di mana negara atau wilayah yang memiliki sumber semula jadi, seperti air atau tenaga, mengenakan bayaran serta syarat-syarat tertentu kepada pihak lain yang memanfaatkan sumber tersebut.

Oleh itu tindakan yang dibuat oleh Kedah adalah berlandaskan prinsip kedaulatan, hak pemilikan, dan penggunaan adil terhadap sumber yang terhad.

“Pulau Pinang sering kali membanggakan diri sebagai negeri yang maju dan berdaya saing, tetapi sikap mereka yang enggan membayar pampasan kepada Kedah mencerminkan kegagalan dalam memahami tanggungjawab sosial dan keadilan dalam pengurusan sumber.

“Mereka mengaut keuntungan daripada penggunaan air Sungai Muda tanpa memberikan sumbangan yang setara kepada negeri yang menjadi punca kepada kelangsungan bekalan air

“(Ini) adalah satu bentuk kezaliman ekonomi yang tidak patut diterima dalam sebuah negara yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan bersama,” tambah beliau lagi.

Sebagai contoh ujarnya, Mesir dan Sudan yang telah lama mempunyai perjanjian mengatur penggunaan air Sungai Nil melalui ‘1959 Nile Waters Agreement’.

“Oleh kerana Mesir sangat bergantung kepada Sungai Nil, negara itu telah menuntut agar negara-negara hulu sungai, termasuk Sudan, menghadkan penggunaan air bagi memastikan bekalan air ke Mesir tidak terganggu.

“Dalam beberapa kes, pampasan atau syarat tertentu dikenakan sebagai balasan untuk mematuhi perjanjian ini. Begitu juga di Sungai Colorado, yang mengalir dari Amerika Syarikat ke Mexico.

“Amerika Syarikat dan Mexico telah menandatangani ‘1944 US-Mexico Water Treaty’ yang menetapkan jumlah air yang boleh digunakan oleh kedua-dua negara.

“Sebagai balasan untuk penggunaan air yang berkurangan akibat aktiviti di Amerika Syarikat, Mexico menerima pampasan dan bantuan pembangunan,” jelasnya lagi.

Sementara di Malaysia kata Ehsan, contoh paling jelas ialah pembayaran royalti minyak dan gas kepada negeri-negeri seperti Terengganu dan Sabah.

Kedua negeri itu tegasnya, menerima bayaran royalti daripada Kerajaan Persekutuan untuk pengeluaran minyak dan gas di kawasan perairan negeri-negeri tersebut.

“Melalui prinsip yang sama, boleh diguna pakai pada sumber air, di mana negeri yang memiliki atau mengawal sumber semula jadi berhak menerima bayaran untuk penggunaannya.

“Dengan melihat kepada ‘precedent’ antarabangsa dan tempatan ini, tuntutan Kedah agar Pulau Pinang membayar pampasan bagi penggunaan air mentah dari Sungai Muda adalah sesuatu yang tidak asing dan boleh dianggap wajar.

“Negara atau negeri yang memiliki sumber semula jadi mempunyai hak untuk mengenakan bayaran bagi penggunaan sumber tersebut, terutama jika penggunaan itu memberi keuntungan kepada pihak lain tanpa memberi manfaat yang setara kepada pemilik sumber,” tegasnya lagi.

Oleh itu adalah baik katanya, kedua-dua negeri itu duduk semeja dan menjalankan rundingan dengan teliti untuk mempertimbangkan hak Kedah sebagai pemilik kawasan tadahan, di samping menghormati prinsip undang-undang yang sedia ada.

Pulau Pinang juga jelasnya, mestilah menunjukkan kesediaan untuk berkompromi dan memberi keadilan kepada Kedah, sementara perjanjian yang dicapai harus jelas, mengikat secara undang-undang dan memberi keadilan pemilik sah sumber

“Dengan cara ini, isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik, dalam masa yang sama dapat menjernihkan kekeruhan sejak sekian lama,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

Ulasan