Kita semua patriot pertahankan negara
Oleh Aznan Bakar
1 September 2024, 7:45 am
NEGARA kita Malaysia bukannya ditubuhkan atas dulang emas. Walaupun ada yang mendakwa kita memperoleh kebebasan daripada Inggeris secara mudah tanpa perlu menumpahkan darah, tetapi sebenarnya tetap ada pengorbanan yang dilakukan.
Sebelum Tunku Abdul Rahman Putra dan rakan-rakan duduk di meja rundingan bagi menetapkan tarikh kemerdekaan, banyak nyawa yang terkorban sama ada ketika penjajahan Inggeris, Jepun dan selepas itu komunis.
Jangan kita lupa kepada pengorbanan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor di Perak, Datu Paduka Mohammad Salleh Datu Balu atau Mat Saleh yang terkorban di tangan penjajah di Tambunan, Pahlawan Rentap di Sarawak serta tokoh lain yang mengorbankan jiwa dan nyawa mereka untuk tanah air.
Rentetan perjuangan tokoh-tokoh ini membawa kepada penentangan terhadap Malayan Union yang merintiskan kepada kemerdekaan yang dicapai di meja rundingan. Semua itu adalah lonjakan besar dalam sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia. Daripada lonjakan ini membawa kepada kebebasan dan seterusnya kemakmuran yang kita nikmati hari ini.
Apa yang kita nikmati ini bukan sekadar kemakmuran material tetapi juga kemakmuran manusiawi yang menyaksikan jutaan jiwa yang berbeza latar belakang etnik, budaya dan agama bersatu di bawah bumbung Malaysia bagi mencipta kebahagian dan kegembiraan bersama.
Semua itu tidak datang dengan mudah kerana mengambil masa berdekad lamanya untuk kita mengecapi apa yang ada pada hari ini. Biarpun diuji dengan pergolakan politik, perbezaan ideologi hingga menyaksikan pemimpin keluar masuk penjara, tetapi akhirnya kepentingan negara tetap menjadi matlamat utama kita.
Saya menulis perkara ini bukan kerana ketika ini kita berada di musim patriotik iaitu dari sambutan Hari Kemerdekaan semalam, hingga kepada Hari Malaysia 16 September ini, tetapi juga pentingnya kita melihat daripada perspektif sejarah.
Sejarah telah menyatukan kita rakyat Malaysia pelbagai kaum, budaya dan agama. Asas ini perlu terus dipertahankan tidak kira apa yang berlaku. Kita boleh ada perbezaan tetapi jangan sampai membawa kepada perpecahan.
Berbeza pegangan politik itu perkara biasa. Ramai antara kita yang tidak puas hati dan kecewa dengan kejayaan Kerajaan Perpaduan membentuk kerajaan. Tetapi jangan itu dijadikan alasan untuk memporak-perandakan negara.
Itu adalah proses yang dicapai ketika pilihan raya dan boleh diubah pada pilihan raya berikutnya. Kuasa menentukan siapa menjadi kerajaan itu di tangan rakyat. Tetapi sementara menunggu pilihan raya akan datang, berilah peluang kepada kerajaan sekarang ini untuk mentadbir dan membangunkan negara.
Kita telah mengambil masa berpuluh tahun untuk membebaskan diri daripada penjajah dan seterusnya berjuang untuk mengubah tanah air kita kepada sebuah negara yang dinamik, membangun dan dihormati dunia.
Kejayaan itu dicapai kerana iltizam dan patriotisme ada dalam diri kita. Para patriot yang mengutamakan negara mengatasi segalanya. Kitalah patriot yang memacu negara ini hingga ke kedudukan sekarang. Jangan kita rosakkannya kerana dendam dan amarah politik yang tidak sudah.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan