Merdeka satukan rakyat
KONTINJEN perarakan mengenakan pakaian etnik berbilang kaum sempena Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, di sini semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
1 September 2024, 7:00 am
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan ideologi politik, agama dan kaum demi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di seluruh negara, semalam.
Di sebalik perbezaan yang timbul melibatkan pelbagai perkara, sambutan Hari Kebangsaan 2024 dapat diadakan dengan meriah dan penuh semangat perpaduan.
Masyarakat berbilang kaum secara beramai-ramai memenuhi lokasi sambutan bagi menyaksikan acara yang berlangsung, pada masa sama menghayati erti kemerdekaan dengan penuh kesyukuran.
Lebih 100,000 orang hadir di Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan itu dengan puluhan ribu yang lain menyertainya di seluruh negara.
Membawa tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, sambutan kali ini disifatkan luar biasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan semalam antara yang terbaik pernah dilaksanakan, dengan terdapat perubahan dalam acara pembukaan dan penutup.
“Tahniah kepada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) dan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Malaysia (HKHM) 2024 yang bertungkus-lumus menghasilkan persembahan terbaik.
“Dapat kita saksikan penambahbaikan dalam acara pembukaan dan penutup yang lebih meriah dan penuh intipati kemerdekaan,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan tersebut.
Turut senada, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk seri Johari Abdul Ghani yang menyatakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat meriah dan semua masyarakat perlu berbangga kerana Malaysia sudah merdeka 67 tahun.
“Apa yang penting sekarang adalah untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kehadiran rakyat Malaysia yang sangat ramai membuktikan sambuta n berkenaan meriah serta menonjolkan semangat kebersamaan.
Beliau berkata, seluruh peringkat masyarakat dilihat bersama Kerajaan Perpaduan dan ia satu perkara yang baik dalam memacu negara ke tahap lebih tinggi.
Di Dataran Putrajaya, orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut seawal pukul 1 pagi bagi memilih tempat bersesuaian dengan ada dalam kalangan mereka sanggup bermalam di dalam kereta dan memasang khemah sementara menunggu acara berlangsung.
Seramai 13,009 peserta menjayakan persembahan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 selain turut disertai 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara.
Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut bersama pada sambutan itu ialah Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusoff selain barisan Menteri Kabinet.
Sambutan secara rasmi bermula sekitar pukul 8 pagi dengan lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.
Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, disusuli bacaan ikrar Rukun Negara diketuai Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Mohd Khairul adalah wira yang menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.
Hadirin kemudian dipersembahkan dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan kontinjen kenegaraan, urus tadbir negara, konvoi Kembara Merdeka, ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Dalam perarakan kali ini, seramai 100 pegawai kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional dipertanggungjawab membawa Jalur Gemilang gergasi bersaiz 80 x 40 kaki.
Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Acara yang dinantikan para hadirin adalah pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi lima pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.
Sambutan itu turut menampilkan kelainan dalam pertunjukan, terutama persembahan tarian ‘Stompers Cuci Rasuah’ yang dipersembahkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).
Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membuat kejutan dengan menyertai perarakan sambil berpakaian lengkap seragam pegawai bomba dan berada di atas jentera bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Manakala, kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama menjayakan perarakan kali ini yang dilihat menunggang kuda dengan berada di barisan paling hadapan kontinjen berkenaan
Ulasan
Catat Ulasan