Merdeka sebenar ikut sebagaimana Rasulullah ajar
August 31, 2024
Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
KOTA BHARU: Kemerdekaan yang sebenar adalah apabila umatnya mencapai ketamadunan yang berlandaskan ajaran Islam, manakala jiwa merdeka adalah jiwa yang teguh dengan nilai-nilai Islam yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian dalam konteks ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’.
Menurutnya, jiwa merdeka adalah kunci untuk membina sebuah negara dan negeri yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam, yang menjamin keadilan, kesejahteraan, dan keharmonian untuk semua.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 peringkat negeri Kelantan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Menurutnya, pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia telah dianugerahkan kemerdekaan daripada cengkaman penjajah.
“Peristiwa bersejarah ini bukan sekadar menandakan berakhirnya penjajahan fizikal, tetapi juga simbol kebangkitan sebuah negara yang berdaulat, bebas menentukan hala tuju dan masa depannya sendiri.
“Namun, erti kemerdekaan yang sebenar bukan hanya pada bebasnya negara dari penjajahan, tetapi juga kebebasan jiwa dari segala bentuk penjajahan pemikiran, budaya, dan akidah.
“Semua ini adalah cara kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, iaitu dengan memastikan akidah, pemikiran, budaya dan cara hidup, hendaklah mengikut syariat Allah SWT,” katanya lagi.
Oleh sebab itu, tambahnya jika dihayati secara mendalam, erti kemerdekaan yang sebenar adalah sebagaimana yang diajar Rasulullah SAW, dengan mengabdi, menyerah, tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Sehubungan itu, beliau berharap sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, semua pihak dapat memperbaharui azam dan tekad untuk terus berusaha memajukan negeri.
“Bagaimanapun ianya mesti dibangun dan dimajukan dengan berpandukan ajaran Islam serta memaknakan kemerdekaan yang dikecapi ini juga dari sudut akhlak, pendidikan, budaya, perundangan, perlembagaan dan seluruh sistem hidup,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan