Nasihat kepada Akmal, jangan undur walau setapak
September 23, 2024
KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung 1 PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menasihati Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar tidak berundur walaupun setapak berhubung isu pensijilan halal.
Khairul Faizi berkata, beliau tidak menyokong desakan Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau agar Muhamad Akmal memohon maaf kepada Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim dan semua rakyat Malaysia dalam isu tersebut.
“Perkara ini terjadi seolah-olah (Cheng Hau) mengambil peluang di atas sikap Dr Akmal yang tidak memanjangkan lagi isu ini, didesak pula beliau untuk meminta maaf, jadi kenapa perlu dibuat perkara tersebut sebab itu dan saya agak musykil kerana ia bukan salah beliau.
“Apa yang beliau lakukan adalah sikap yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin beragama Islam untuk mempertahankan isu ini seperti yang disarankan oleh kerajaan. Saya secara peribadi bersama dengan perjuangan beliau.
“Tetapi jika beliau meminta maaf, saya tak bersetuju sama sekali. Jadi diharapkan beliau tidak akan menarik balik atau tidak memohon maaf atas tindakan beliau sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kluang, berkata gambaran yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP agak sukar untuk menerima polisi Islam dalam negara.
“Ini juga membuktikan bahawa kerajaan perpaduan sangat rapuh terutamanya ketika mereka berpakat membentuk kerajaan bukan atas dasar yang mereka perjuangkan tetapi hanyalah semata-mata kerana ingin memerintah.
“Walaupun kita sedari bahawa Umno, Barisan Nasional dan PH adalah parti yang sangat tidak selari dari sudut perjuangannya, mereka bertembung tetapi terpaksa membentuk kerajaan kerana kepentingan kuasa.
“Selain itu, mereka bukanlah membawa ‘sikap’ DAP itu sendiri, dan PH untuk menunjukkan bahawa memang tidak wujud kerajaan perpaduan di Johor dan ini merupakan satu syarat kepada Umno,” katanya.
Justeru, Khairul berharap agar Pemuda Umno yang berjiwa besar dan sangat kritis terhadap pandangan pemimpin DAP itu sendiri perlu mempertahankan terhadap masyarakat ataupun pengundi khususnya dalam kalangan Melayu mahupun bukan Melayu.
“Mereka saling tidak percaya-mempercayai antara satu sama lain dan saya berharap agar rentetan dan peristiwa yang masih terus berlaku ini pengundi perlu menunjukkan sikap untuk menolak calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Mahkota.
“Kalau BN menang pun sebenarnya mereka tidak bersatu dan ianya berbeza dengan PERIKATAN NASIONAL (PN) kerana kita bekerjasama untuk memenangkan calon yang sama.
“Oleh sebab itu tidak timbul isu di kalangan kami yang saling bercakaran semasa kempen ini sedang berlangsung,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan