‘Normalisasi ini memungkinkan Umno diresapi ideologi komunis’ – Cikgu Zai
September 30, 2024
KUALA LUMPUR: “Umno sebagai sebuah parti yang menjadi juara kepada Melayu dan Islam lebih wajar mencari sekolah politik yang lebih dekat kepada perjuangan Melayu Islam bagi memperkukuhkan jati diri para kepimpinan masa depan.”
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa atau dikenali sebagai Cikgu Zai berkata demikian susulan tindakan yang diumumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, yang mengatakan kehadiran beliau ke China adalah atas tiket jemputan khas lawatan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China.
Dalam hantaran tersebut, Mohd Puad berkata, di China sekolah politik mereka berada di mana-mana dari peringkat pusat hinggalah ke provinsi, daerah dan perbandaran.
“Sekolah politik mereka (China) berkembang jauh hingga ke peringkat post graduate.
“Semua pegawai kerajaan dan ahli parti akan mengikuti sekolah politik. Ini cara mereka mengindoktrinasi rakyatnya dengan ideologi Parti Komunis China,” ujar Mohd Puad.
Sehubungan dalam responsnya, Mohd Zai berkata, agak janggal apabila Mohd Puad menyatakan bahawa beliau dan rombongan telah menerima jemputan khas daripada Jawatankuasa Sekolah Perbandaran Parti Komunis China (PKC) di Beijing sebagai lawatan sambil belajar kepada kepimpinan Umno.
Katanya lagi, keadaan ini lebih janggal lagi apabila beliau (Mohd Puad) telah menyerlahkan tanpa was-was dan menerima lawatan itu sebagai perkara yang baik bagi melatih kepimpinan dan perkaderan pemimpin Umno.
“Agak menghairankan bagi Umno sebuah parti politik berteraskan Melayu Islam dengan senang boleh mengadakan hubungan baik dengan sekolah politik PKC dalam soal melatih dan mengkader kepimpinan tanpa rasa bersalah.
“Sekolah Politik PKC sudah pasti mempromosikan ideologi (komunis) mereka bagi dinormalisasikan kepada pelbagai pihak yang melakukan hubungan dengan mereka, dan akhirnya dengan menjustifikasikan PKC boleh membangunkan negara khusus China dengan begitu hebat yang boleh ditiru dan dijadikan contoh sebagai sebuah negara maju dan kuasa besar dunia,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambah Cikgu Zai, ini merupakan perkara yang ingin mereka sampaikan setelah balik daripada lawatan dari negara China
“Sekiranya perkara ini diterima, maka secara automatik ideologi komunis telah dinormalisasikan dan meresapi dalam kepimpinan Umno yang hadir.
Menurutnya, walau bagaimanapun mungkin akibat daripada gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan DAP, Umno yang melatari pembentukan kerajaan Madani hari ini, telah dinormalisasikan dengan salah satu program seperti ini bagi mendekatkan matlamat yang tajam dan dapat dilunakkan dengan melakukan lawatan dan bertukar pandangan atas nama lawatan sambil belajar.
“Normalisasi ini memungkinkan Umno akan diresapi ideologi komunis sebagai mana yang rakyat sedang melihat sekarang ini,” katanya. HARAKAHDAILY 30/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan