Pahang bakal ditadbir PAS – Tuan Ibrahim


Pahang bakal ditadbir PAS – Tuan Ibrahim
September 11, 2024

Tuan Ibrahim ketika memberi ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65 di Kompleks Al-Makmur,Temerloh, Pahang pada malam ini, 11 September 2024.

TEMERLOH: Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pada kali ini adalah sebagai isyarat bahawa Pahang bakal ditadbir dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sambil mengucapkan tahniah kepada DPPM kerana telah berjaya menarik minat golongan pemuda untuk mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Insya-Allah, kita akan menyaksikan lonjakan pengundian orang ramai yang akan menunjukkan sokongan PAS di negeri Pahang ini,” katanya ketika memberi ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Al-Makmur, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden; Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri; Naib Ketua DPPM, Ustaz Hanif Jamaluddin; Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; dan Pengarah Panitia Muktamar DPPM Kali Ke-65, Muhd Khidhir Izaidin.

Menurut beliau, tujuan kemenangan PAS ini adalah untuk menegakkan undang-undang syariat kepada Allah S.W.T. dalam negara ini.

Tambahnya, sifat seseorang pemerintah adalah untuk menegakkan keadilan dan bukannya berbohong kepada rakyat itu sendiri.

“Namun begitu, apa yang berlaku hari ini adalah seperti mana pemerintah hari ini berjanji tetapi melakukan sebaliknya. Pemerintah sebegitu tidak akan berkekalan lama dan akan tumbang pada satu hari nanti.

“Maka, pentingnya kita sama-sama membina kekuatan akidah dalam melakukan perjuangan Islam ini.

“Ini termasuklah menjaga kebajikan rakyat dan membina sistem ekonomi yang jauh lebih adil kepada semua pihak.

“Perlunya kita ambil iktibar daripada tokoh-tokoh lampau yang bukan sahaja sabar tetapi juga istiqamah dalam perjuangannya.

“Mari kita mengambil iktibar daripada sirah Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda SAW memantapkan akidah terlebih dahulu.

“Ini kerana apabila mantapnya akidah maka mantap sistem ekonomi sesebuah negara dan sekiranya perkara sebaliknya berlaku maka rosaklah ekonomi negara tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ibrahim menyatakan proses memerintah kerajaan persekutuan tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan negeri yang ditadbir semata-mata.

Kata beliau lagi, Pemuda PAS Malaysia perlu memainkan peranan untuk menunjukkan kepada golongan bukan Islam realiti sebenar keadaan golongan sebegini ketika ditadbir oleh parti itu sendiri.

“Maka, saya mencadangkan DPPM untuk membawa golongan bukan Islam untuk melihat sendiri negeri yang ditadbir oleh PAS iaitu Kelantan.

“Mereka boleh melihat sendiri keadaan di negeri tersebut yang mana realiti sebenar ialah golongan bukan Islam di sana hidup dengan aman dan damai.

“Kaedah sebegini sekaligus dapat menjawab segala fitnah dan tomahan yang dilakukan oleh pihak lawan itu sendiri,” katanya. HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan