Pemuda PAS mainkan peranan penting tawan Pahang


Pemuda PAS mainkan peranan penting tawan Pahang
September 11, 2024

Muhammad Hanif ketika hadir dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Temerloh, Pahang, pada malam ini, 11 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY)

TEMERLOH: Pemuda PAS Negeri Pahang memainkan peranan penting dalam menawan negeri tersebut dalam Pilihan Raya akan datang.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Muhammad Hanif Jamaludin berkata, perkara tersebut merupakan satu daripada sebab utama Muktamar DPPM kali ini diadakan di negeri tersebut.

“Kami ingin membina kekuatan Pemuda PAS Negeri Pahang dan berdoa satu hari nanti negeri tersebut dapat kita tawan pada masa akan datang.

“Saya juga mengharapkan supaya Muktamar Pemuda PAS Malaysia akan menjadi lebih bertenaga dan lebih bernas dalam menghadapi pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di hadapan Kompleks Al-Makmur, di sini, pada malam ini.

Menurut beliau, kerajaan pada hari ini telah memberikan tekanan yang sangat hebat kepada parti-parti pembangkang.

Tambah beliau, Pemuda PAS juga memainkan peranan dalam membina masyarakat Malaysia yang lebih sejahtera.

“Jadi, mudah-mudahan Muktamar pada kali ini melatih Pemuda PAS untuk memimpin khususnya seluruh anak muda dalam negara ini bagi mengenai politik Islam yang sebenar.

“Ini bertujuan supaya dapat membina masyarakat yang lebih sejahtera, insya-Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Muhammad Hanif menyatakan Pemuda PAS juga memainkan peranan dalam membawa isu-isu rakyat untuk dibawa dalam Persidangan Dewan Rakyat.

Tambah beliau, perkara sebegini membuktikan bahawa peranan mereka bukan sahaja terikat dalam Pilihan Raya semata-mata.

“Dari sudut isu rakyat, Ketua Pemuda PAS yang akan membawa isu tersebut dalam Persidangan Dewan Rakyat melalui ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, suara Pemuda PAS ini sangat banyak dan boleh lihat sendiri Facebook Pemuda PAS Malaysia bagaimana Ketua Pemuda memainkan peranan yang sangat besar dalam melakukan perkara tersebut.

“Tambahan pula, kebanyakan tenaga untuk menggerakkan PAS itu sendiri pun daripada golongan Pemuda (PAS) dan sebagai contoh, Muktamar (Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-65) hari ini pun mereka yang mempersiapkan aktiviti-aktiviti kawasan itu sendiri.

“Yang paling penting ialah peranan Pemuda PAS itu sendiri dalam mendekati anak-anak muda dalam program-program yang berkaitan dengan anak muda dan juga kebajikan itu sendiri,” katanya. HARAKAHDAILY 11/9/2024

Ulasan