Perhimpunan Mega Hentikan Genosid Israel, 11 Oktober 2024




Perhimpunan Mega Hentikan Genosid Israel, 11 Oktober 2024
September 16, 2024

Mohd Azmi (tengah), Tian Chua (tiga dari kiri) dan Hishamuddin (dua dari kanan) dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari ini, 16 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

KUALA LUMPUR: Sempena genap setahun serangan genosid Zionis Israel laknatullah terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, satu Perhimpunan Mega Hentikan Genosid di Gaza akan diadakan pada 11 Oktober 2024 sebagai solidariti bersama-sama rakyat Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan tersebut akan bermula selepas Solat Jumaat iaitu bermula di Masjid Tabung Haji Kuala Lumpur untuk bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat.

“Perhimpunan ini adalah satu daripada kebangkitan rakyat di seluruh dunia mengingatkan genosid di Gaza sejak 7 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2024 sebagai jenayah kemanusiaan yang paling buruk, kejam dan sangat barbarik dalam era sejarah moden dunia.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah gagal menyekat Zionis Israel dan penyokong terkuatnya iaitu Amerika Syarikat (AS), daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Semenanjung Gaza mencecah lebih 40,000 nyawa rakyat Palestin, di samping lebih 100,000 yang lain tercedera.

“Namun begitu, yang paling parah ialah lebih 70 peratus yang terkorban adalah kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.

Menurut Azmi, jenayah pembunuhan beramai-ramai tersebut secara terang-terangan dibuktikan oleh pelbagai laporan PBB, Human Rights Watch dan ICRC.

Tambah beliau, rumusan Mahkamah Dunia (ICJ) jelas mengeluarkan keputusan bahawa Israel terbukti melaksanakan jenayah tersebut.

“Afrika Selatan dan banyak negara lain turut menyampaikan hujah jenayah tersebut yang dilakukan oleh negara Israel itu sendiri dalam ICJ.

“Lebih jelas dan ketara ialah Amerika Syarikat dan sekutunya terlibat membekalkan senjata tercanggih untuk Israel melancarkan jenayah pembunuhan beramai-ramai yang terburuk.

“Puluhan bilion dolar AS dikeluarkan untuk memberi bantuan senjata kepada negara haram tersebut.

“Bukan itu sahaja, malah Ketua jenayah negara tersebut iaitu Benjamin Netanyahu disambut di Kongres Amerika jelas menyokong Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Pada 7 Oktober 2024 sahaja sudah cukup 365 hari (genap setahun) Israel sewenang-wenangnya menghancurkan seluruh Gaza dan memerangkap 2.3 juta rakyat Gaza dalam serangan udara dan darat tanpa sebarang halangan sehingga Gaza tidak lagi mempunyai zon selamat.

“Serangan berkali-kali ke atas sekolah, kem penempatan pelarian paksa dan hospital sepanjang operasi jenayah tersebut membuktikan Israel dan Amerika adalah negara mafia dan penjenayah dunia,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azmi menyatakan tiada perundangan antarabangsa yang tidak dilanggar oleh negara haram Israel itu sendiri.

Kata beliau lagi, semua resolusi PBB dilanggar oleh negara haram tersebut yang mana pertubuhan itu sendiri dikecam oleh Israel sebagai organisasi pengganas apabila meluluskan resolusi bersifat pro-Palestin.

“Maka perhimpunan ini bertujuan menggembleng seluruh rakyat merentas politik, agama dan kaum supaya hadir menyatakan bantahan terhadap kebiadaban Israel yang didukung Amerika Syarikat.

“Perhimpunan ini penting selaras dengan pendirian kerajaan Malaysia yang lantang menentang penjajahan Israel ke atas Palestin dan menuntut kemerdekaan untuk Palestin.

“Kami menyeru seluruh kumpulan NGO dan ahli parti politik negara bergabung untuk menyertai perhimpunan ini demi membela nasib rakyat Palestin.

“Kami juga menyeru seluruh masjid mengadakan perhimpunan masing-masing dan menyampaikan khutbah mengenai perjuangan pembebasan Palestin.

“Kami juga menggesa Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan sidang khas bagi meluluskan usul mengenai genosid Israel di Gaza,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

Ulasan