PN perlu segera baiki prestasi di Mahkota – Muhyiddin



PN perlu segera baiki prestasi di Mahkota – Muhyiddin
Muhyiddin Yassin
Oleh MEDIA MULIA
30 September 2024, 6:55 am

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru para pemimpin partinya berlapang dada selepas mengalami kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, PN menghormati pilihan pengundi DUN Mahkota selaras dengan semangat demokrasi dan berterima kasih kepada pengundi yang mengundi calonnya, Mohamad Haizan Jaafar.

Katanya, beliau percaya kekalahan calon PN dalam PRK tersebut tidak akan mematahkan semangat PN untuk terus berjuang.

“Kita mesti menerima isyarat pengundi DUN Mahkota dengan berlapang dada dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki prestasi parti.

“Insya-Allah, PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya akan bangkit semula dengan semangat yang lebih jitu untuk mencipta kemenangan di pentas demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Naib Pre­siden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) itu bukanlah kayu ukur mutlak untuk menyatakan rakyat sudah mula kembali menyokong parti itu dan UMNO.


Katanya, kemenangan BN sememangnya sudah dijangkakan kerana kawasan itu merupakan kubu kuat kepada parti ber­kenaan sebelum ini.

“Bagaimanapun, berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan keputusan PRK malam tadi (semalam), kita hanya kehilangan sedikit undi kali ini. Bagi kita, ia satu kemenangan moral untuk Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Yang Ke-55 di Kota Bharu semalam.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan Johor.

“Dengan mandat besar yang diterima ia memperkuatkan lagi tekad BN untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama-sama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga kemenangan ini sempena dengan sambutan 50 Tahun BN akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak ke hadapan membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Ulasan