URA jadikan Melayu minoriti, hilang kuasa politik

URA jadikan Melayu minoriti, hilang kuasa politik

Akta Pembaharuan Semula Bandar
September 20, 2024





TASEK GELUGOR: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diterajui Menteri, Nga Kor Ming daripada DAP yang bakal digubal di Parlimen disifatkan ‘ada udang di sebalik batu’.

Bekas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkongsi pandangan beliau bersama rakan-rakan yang memiliki latar belakang pengalaman sama sepertinya, di mana mereka percaya bahawa wujud ‘agenda tertentu’ akta tersebut.

Menurutnya, isu pembangunan semula, perubahan dan perancangan seumpama mungkin telah disaksikan oleh kebanyakan rakyat di Pulau Pinang, namun kesan agenda pembaharuan semula itu hakikatnya belum disedari oleh kebanyakan orang.

“Kita dah tengok bagaimana kampung-kampung tradisi dan warisan Melayu contohnya di Batu Uban dan lain-lain di Pulau Pinang ini apa semua semua hilang habis dibangunkan dengan pembangunan-pembangunan baru.


“Yang akhir melihat kuasa orang Melayu, kedudukan orang Melayu hilang. Kenapa hilang? Kerana kita tidak lagi menjadi majoriti,” ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat dan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.


Instrumen politik dan ancaman


Beliau menjelaskan ancaman yang wujud daripada akta tersebut dengan memberi contoh pembangunan semula sebuah kawasan penduduk Melayu terdiri daripada 500 unit kepada penempatan 2,000 unit.


Terangnya, dari contohnya sebuah flat kos rendah terdiri 500 unit rumah dan majoriti Melayu, telah dibangunkan semula rumah kos bebas di mana penduduk Melayu asal di situ tetap diberikan unit kediaman baharu.


Namun katanya, baki 1,500 unit yang terdiri daripada penduduk campuran telah mengubah keadaan asal penempatan di situ di mana akhirnya Melayu sebagai majoriti telah berubah menjadi kaum minoriti.


“Itu yang kenapa kita merasakan bahawa terdapat satu agenda yang tidak baik kepada akta ini. Tuan-puan sekalian, perumahan adalah satu instrumen politik yang paling berkesan untuk mengekalkan kuasa,” tegasnya.


Kata beliau, perumahan boleh digunakan untuk menyusun sesuatu kaum atau kelompok sebagaimana sebuah parti pemerintah terdahulu memberikan pengundi mereka rumah awam kos rendah sebagai ganjaran atau untuk memenuhkan sesuatu kawasan.


Menurutnya, dengan pembinaan dinamakan Rumah Mampu Milik yang ketika dahulu di bawah harga RM100,000 maka orang Melayu diramaikan atau bertambah di sesuatu kawasan menjadikan mereka penduduk majoriti.


Namun katanya, kini instrumen sama digunakan tetapi dengan pembangunan lebih ekstrem apabila kediaman berharga RM500,000 dibina yang menyebabkan orang Melayu tidak berkemampuan membeli atau menduduki kawasan sedemikian.


Dato’ Iskandar selaku juga Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) berkata, pembangunan itu menyebabkan berlaku perubahan yang asalnya orang Melayu sebagai penduduk majoriti, tetapi telah menjadi minoriti.


“Kita tertanya-tanya, adakah terdapat mekanisme di dalam akta tersebut untuk memastikan bahawa peratusan bangsa di situ dapat dikekalkan? Contohnya kawasan itu asalnya peratusannya orang Melayu. Peratusannya orang Melayu majoriti.


“Adakah terdapat perkara-perkara di dalam akta tersebut klausa ke yang address isu ini? Yang memastikan bahawa orang Melayu itu menjadi kekal sebagai majoriti, ataupun tidak berubah?” ujarnya yang difahamkan tidak ada.


Timbul lebih banyak kemusykilan


Menurut beliau, setakat maklumannya akta tersebut hanya terdapat perkara berkaitan teknikal seperti perpindahan, pampasan dan penggantian yang disifatkannya terlalu asas serta lebih kecil dari isu dibimbangi.


Katanya, dari maklum balas diterima, perkara berkaitan ketetapan atau peratusan kaum dalam kalangan penduduk akan ditentukan oleh pihak negeri, namun tidak pasti sejauh mana kuota berkaitan akan dijamin.


Tambah beliau, kebanyakan rakyat yang belum mengetahui ‘agenda di sebalik’ akta tersebut mungkin melihat bahawa pembaharuan semula akan mengatasi bangunan usang serta tidak mampu lagi dibaik pulih.


Tetapi hakikatnya ujar Dato’ Iskandar, pembaharuan semula itu tidak meningkatkan kualiti hidup dalam pelbagai sudut lain, apatah lagi wujud pertikaian kerana telah sedia ada antara tujuh atau lapan akta berkaitannya.


Turut menimbulkan kemusykilan katanya, apabila hasrat pembentangan akta tersebut telah berkali-kali tertangguh, termasuk ditukar perkataan asal ‘pembangunan’ kepada ‘pembaharuan’ yang beliau percaya terdapat elemen politik.


Jelasnya, pihak akan terkesan adalah golongan marhaen atau miskin di bandar di mana mereka yang masih berada dalam kawasan tersebut perlu mempertahankan kedudukan kerana seandainya keluar, mereka tidak mungkin dapat kembali lagi.


“Dah paling sikit dah, itupun nak halau keluar lagi?” ujarnya turut mengingatkan bahawa pembangunan mahupun pembaharuan semula bandar mesti dilakukan dengan kawalan yang menyelesaikan.


Iktibar Melayu di Singapura


Dato’ Iskandar turut mengambil iktibar dari sejarah kependudukan orang Melayu di Singapura di mana dahulunya banyak kampung-kampung Melayu, sebelum ia dirobohkan pemerintahan PAP untuk pembangunan semula.


Cerita beliau, akibat dari perobohan kampung dan dibangunkan pembangunan semula baharu, akhirnya tidak wujud lagi kawasan-kawasan majoriti orang Melayu di Singapura termasuk Umno tiada lagi kerusi pada Pilihan Raya tahun 1964.


Singapura juga terangnya, mengamalkan kuota penduduk dipanggil Etnic Integration Programme (EIP) dilaksanakan menerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di mana orang Melayu ditetapkan hanya 28 peratus di satu-satu penempatan.


“Bermakna bahawa kalau dalam kawasan HDB itu dah ada 28 peratus (orang Melayu), kita nak beli rumah kat situ, tak boleh. Makna walau apa berlaku pun dalam kawasan itu orang Melayu (cuma dibenarkan) 28 peratus,” ujarnya.


Keadaan tersebut katanya, menjadikan tidak ada kawasan yang orang Melayu majoriti dan perkara sama sedang cuba dibuat DAP di negara ini apatah lagi dengan sempadan Parlimen diwakili mereka ketika ini masih boleh disempadankan semula.


“Bagaimana kalau kawasan DAP yang sampai 200,000 atau 150,000 orang pengundi. Senang-senang boleh dipecah tiga daripada satu dia orang dapat tiga. Dapat empat dan lima. Akhirnya mereka akan menjadi majoriti. Kita menjadi sedikit,” ujarnya.


Bersama selamatkan tanah, aset Melayu


Dato’ Iskandar turut melontar cadangan untuk menyelamatkan tanah-tanah atau hartanah milik orang Melayu yang sudah tidak berdaya lagi diusahakan seperti rumah lama, sawah atau ladang supaya diwujudkan koperasi untuk membelinya.


Seterusnya kata beliau, pembaharuan semula yang akan terus mengekalkan dan memelihara pemilikan tanah tersebut kepada orang Melayu-Islam dapat dipertahankan sebagaimana pembangunan kawasan telah dibuat oleh beberapa syarikat hartanah.


Beliau menyebut beberapa agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang dahulunya memainkan membangunkan tanah-tanah dan hartanah orang Melayu terutama Rumah Mampu Milik.


Namun kesali beliau, pihak-pihak tersebut kini dilihat tidak agresif, bahkan ada yang sudah mengkhianati tujuan asal penubuhan mereka, malah perkara sama turut berlaku kepada pihak yang menguruskan tanah dan aset-aset penting negara.


Keadaan tersebut menurutnya, menyebabkan banyak tanah dan aset kerajaan yang sepatutnya boleh diuruskan oleh agensi atau badan atau GLC berkaitan, tetapi telah diserahkan kepada pihak swasta untuk menguruskannya.


“Diserahkan kepada ada syarikat pemaju yang besar. Kenapa sendiri tidak majukan? Itu yang kita pertikaikan. Dia kata benda itu adalah tender terbuka. Tapi macam kerajaan ni tak ada kemampuan langsung. Kenapa kerajaan tak boleh?


“Kerajaan boleh bina Putrajaya dan sebagainya, tetapi kenapa kerajaan tak boleh bangunkan tanah yang taklah besar mana sangat?” persoalnya terhadap kecurigaan seperti itu yang dilihat seperti memihak kepada swasta berkepentingan keuntungan. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

Ulasan