‘Adakah mereka tergolong dalam kategori kaya?’

‘Adakah mereka tergolong dalam kategori kaya?’
October 23, 2024

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan segera dalam meringankan beban rakyat.

Beliau menegaskan, rakyat kini mengharapkan bantuan yang lebih daripada kerajaan, namun apa yang ditunjukkan dalam Belanjawan 2025 adalah sebaliknya.

Muhyiddin merujuk kepada pengurangan jumlah subsidi dan bantuan sosial sebanyak 14.4 peratus, daripada RM61.4 bilion pada tahun 2024 kepada RM52.6 bilion pada tahun hadapan.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan mengenai keputusan kerajaan untuk menarik balik subsidi RON95 pada pertengahan tahun hadapan, yang disifatkannya sebagai langkah meneruskan dasar rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan.

“Persoalannya, apa kesannya kepada rakyat? Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan harga barang yang melambung, kerajaan mengurangkan subsidi dan menaikkan cukai,” ujarnya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan itu akan menyebabkan harga barang meningkat, sekali gus meningkatkan beban rakyat yang sudah pun tertekan.

“Dengan kadar inflasi yang dijangka meningkat antara 2 hingga 3.5 peratus pada tahun hadapan, kerajaan seharusnya menimbang semula dasar rasionalisasi subsidi.

“Walaupun kerajaan menjamin bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, tetapi siapa golongan T15 ini? Berapa jumlah mereka? Adakah mereka tergolong dalam kategori kaya?” soal Muhyiddin.

Beliau merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan mereka dengan pendapatan isi rumah RM13,295 tergolong dalam 15 peratus pendapatan tertinggi.

Menurutnya, pendapatan tersebut mungkin tidak mencukupi untuk menampung kenaikan harga petrol dan perbelanjaan harian, terutama bagi mereka yang mempunyai komitmen seperti hutang rumah dan pendidikan anak-anak.

Muhyiddin juga menegaskan, kesan penghapusan subsidi petrol bukan hanya dirasai oleh golongan T15, tetapi juga akan menjejaskan golongan B40 dan M40, yang juga terpaksa menanggung beban akibat peningkatan kos.

Beliau menekankan, kerajaan perlu memperjelas kriteria dan jumlah golongan T15 bagi memastikan semua pihak yang terjejas oleh dasar ini dapat diambil kira. – HARAKAHDAILY 23/10/2024

Ulasan