Apa takrifan sebenar golongan T15
October 30, 2024
Aireroshairi Roslan
KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menyebut tentang golongan T15 dan beberapa subsidi yang dikurangkan bagi golongan itu.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan, berkata isu itu terjadi seolah-olah menunjukkan pihak kerajaan tidak memperhalusi dengan sebaik mungkin siapakah golongan T15 itu.
“Apa itu golongan T15? Apa takrifan sebenar golongan T15 atau golongan maha kaya? Itulah antara persoalan-persoalan yang mula timbul apabila Belanjawan 2025 dibentangkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Untuk rekod, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini, T15 merujuk kepada golongan yang berpendapatan RM13,000 ke atas.
“Adakah relevan golongan ini dianggap sebagai ‘golongan maha kaya’? Adakah adil untuk menarik subsidi terhadap golongan ini? Adakah kerajaan sudah mengkaji dengan teliti ketika membentangkan belanjawan tempoh hari?
“Jika inilah takrifan sebenar golongan T15, maka saya menegaskan agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat ini.
“Janganlah pihak kerajaan menjadi seperti umpama, ‘jari di tangan, ada bercincin ada tidak’ dalam membuat keputusan,” katanya.
Untuk rekod, pembentangan Belanjawan 2025 telah membawa kepada penumpuan golongan T15 yang dikatakan sebagai golongan ‘maha kaya’.
Selain itu, golongan T15 dalam konteks kelas pendapatan di Malaysia merujuk kepada kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan tertentu.
Golongan T15 biasanya digunakan untuk merujuk kepada 15 peratus teratas dalam pembahagian pendapatan yang menunjukkan kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 30/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan