Atasi ketidaksamaan di rumah dengan tempat kerja
WANITA perlu berdepan dengan cabaran persepsi negatif dan keraguan mengenai komitmen terhadap kerjaya.
Oleh Meja Rencana
30 Oktober 2024, 9:00 am
HARI Penjagaan dan Sokongan Antarabangsa yang disambut pada 29 Oktober (semalam) adalah masa untuk meraikan kerja sektor penjagaan serta menyelami hubungkait dengan kesaksamaan jantina. Kajian terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati isu penjagaan anak, tanggungjawab rumah tangga serta persepsi stereotaip terhadap peranan tradisi lelaki-wanita kekal menjadi cabaran utama dalam melonjakkan penglibatan kaum hawa dalam sektor pekerjaan.
Malaysia mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita daripada 37.2 peratus pada 1970 kepada 56.2 peratus pada 2023.
Namun, tahap penyertaan tenaga buruh wanita masih 25 peratus lebih rendah berbanding lelaki dan tidak menampakkan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun yang lepas. Kadar penyertaan lelaki berusia 25 hingga 54 tahun iaitu fasa paling produktif, sentiasa berada pada tahap hampir 100 peratus sepanjang empat dekad yang lalu.
Sebaliknya, trend bagi wanita tidak konsisten seperti lelaki dan menunjukkan trend naik-turun yang ketara mengikut fasa hidup mereka. Penyertaan wanita dalam pasaran kerja adalah tinggi ketika berusia lewat 20-an, kemudian menurun pada usia 30-an sebelum meningkat semula pada awal usia 40-an. Trend ini menunjukkan keputusan wanita untuk bekerja atau meninggalkan pasaran buruh banyak dipengaruhi oleh fasa hidup seperti perkahwin dan membesarkan anak.
Satu trend positif ialah dari segi tempoh berhenti dan kembali bekerja yang lebih singkat dalam kalangan wanita kini berbanding generasi terdahulu. Senario ini boleh dikaitkan dengan perubahan sosiodemografi seperti penurunan kadar kesuburan yang menyebabkan bilangan anak yang lebih rendah, didorong oleh faktor peningkatan tahap pendidikan wanita dan proses urbanisasi yang pesat. Pelaksanaan dasar khusus yang menggalakkan wanita untuk kembali bekerja serta sistem perkhidmatan penjagaan juga membantu.
Kajian ini juga turut mengetengahkan perbezaan impak menjadi ibu bapa antara lelaki dan wanita. Tanggungjawab penjagaan anak yang berat sebelah terus menjadi penghalang wanita untuk bekerja, suatu fenomena yang dikenali sebagai ‘hukuman keibuan’.
Sebaliknya, lelaki berkahwin dan mempunyai anak menikmati ‘premium kebapaan’ apabila kehadiran anak meningkatkan kecenderungan untuk bekerja. Lelaki berkeluarga dilihat lebih stabil dan bertanggungjawab sekali gus memperoleh peluang kerjaya yang lebih baik, manakala wanita pula perlu berdepan dengan cabaran persepsi negatif dan keraguan mengenai komitmen mereka terhadap kerjaya.
Kajian ini telah mengenalpasti bahawa ketidaksamaan di tempat kerja dan rumah, selain stereotaip peranan jantina, adalah dua aspek yang perlu ditangani dalam merapatkan jurang jantina. Polisi mesra keluarga seperti kerja fleksibel, cuti bersalin, paterniti serta kos penjagaan anak yang berpatutan dapat menyokong wanita dalam mengimbangi antara tanggungjawab kerja dan keluarga.
Selain itu, menangani persepsi terhadap peranan tradisi lelaki-wanita dengan menekankan penglibatan yang lebih aktif oleh lelaki di rumah tidak kurang pentingnya. Selari dengan perubahan demografi di Malaysia, satu kerangka menyeimbangkan tanggungjawab penjagaan antara isi rumah, sektor swasta, kerajaan dan komuniti perlu diperkukuh bagi memberdaya wanita dan keluarga.
Sasaran Ekonomi Madani untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 60 peratus tidaklah mustahil, namun usaha perlu ditingkatkan untuk mencapai matlamat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.-UTUSAN
HAWATI ABDUL HAMID
Pengarah Penyelidikan
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI)
Ulasan
Catat Ulasan