Bimbang rakyat tak nak mengaji, bukan tarik subsidi


Bimbang rakyat tak nak mengaji, bukan tarik subsidi
October 8, 2024

ALOR SETAR: Kerajaan Malaysia sewajarnya melihat isu pendidikan negara dalam kerangka lebih besar dan bukannya memfokuskan kepada pemotongan subsidi kepada golongan kaya yang hanya terdapat beberapa peratus sahaja jumlahnya.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bahkan mengingatkan pemimpin bahawa ada isu pendidikan yang lebih perlu dibimbangkan iaitu terdapat ramai kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu lagi menyambung pelajaran.

“Sama ada ke Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) mahupun bidang kemahiran. Hal ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan, sebab datanya sangat besar. Perkara ini boleh membuatkan negara hilang sumber tenaga pada masa hadapan kalau tidak dibendung.

“Ini adalah lebih baik diberi fokus daripada riuh rendah kepada perkara yang sangat kecil jumlahnya,” kata beliau ketika ditemui Harakahdaily, di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Tegasnya lagi, Perdana Menteri khususnya, perlu membuat kajian terlebih dahulu peratusan golongan kaya yang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sedangkan tambah beliau, umum mengetahui kebanyakan golongan kaya di Malaysia lebih memilih pendidikan anak masing-masing ke sekolah-sekolah swasta ataupun antarabangsa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu menilai semula subsidi sektor pendidikan kepada golongan kaya, di mana pendekatan itu dakwanya akan membantu memanfaatkan golongan memerlukan.

“Golongan kaya juga pembayar cukai, malah yang terbesar di Malaysia. Pendidikan ini sebenarnya aset masa depan bukan barangan komiditi yang boleh dinilai dalam bentuk kebendaan atau sebagainya.

“Mana-mana negara pun, pendidikan ini tidak menjadi isu yang difokuskan kepada golongan kaya atau miskin, malah golongan kaya juga terbeban dengan pelbagai perkara,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam ulasan lanjut berkata, pendidikan percuma sebenarnya untuk semua tanpa mengira latar belakang keluarga pelajar tersebut, malah pendekatan itu diamalkan oleh banyak negara luar.

Sebagai contoh ujarnya, Amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat, walaupun Amil itu dari kalangan orang kaya, tetapi beliau layak menerima zakat atas jawatan dan tugasannya.

“Hakikatnya, bagi saya apa yang disebut oleh Perdana Menteri itu, lebih kepada gempar (riuh) sahaja sedangkan pendidikan ini bukanlah perkara yang boleh dijadikan isu,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

Ulasan