CEO GISBH, isteri antara didakwa jadi ahli jenayah terancang


CEO GISBH, isteri antara didakwa jadi ahli jenayah terancang
KETUA Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali (tengah) dan 21 lagi individu tiba di Mahkamah Selayang, bagi menghadapi tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Oleh YASMIN NATASHA HAIRUL
24 Oktober 2024, 6:50 am

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya, Datin Azura Md. Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah te­rancang.

Selain pasangan itu, turut didakwa Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32 iaitu anak kepada Asa’ari Muhammad, pengasas Pertubuhan Al-Arqam yang telah diisytiharkan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, turut dituduh ialah Hasnan Abd. Hamid, 53; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md. Jasin, 57; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 34;

Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Turut didakwa Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32; dan Siti Salmiah Ismail, 57.

Mengikut pertuduhan, me­re­ka didakwa menjadi ahli kum­pulan jenayah terancang GISBH, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.


Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas per­tuduhun dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun kerana kes membabitkan jenayah terancang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 23 Disember ini bagi sebutan semula kes untuk kesemua tertuduh.

Prosiding semalam dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd. Sham, Lina Hakimi Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Kesemua tertuduh diwakili lima peguam bela iaitu Datuk Rosli Kamaruddin, Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Boestaman Ahmad dan M. Hafiz Zainal Abiddin.

Sementara itu, Rosli memberitahu, pihak pembelaan akan menghantar representasi bagi kesemua tertuduh dalam masa terdekat.

“Pihak kami akan kemukakan representasi kepada Jaba­tan Peguam Negara (AGC) secepat mungkin dan akan ada beberapa permohonanan lain yang bakal dibuat pada minggu hadapan. (Jenis permohonan yang akan dibuat) akan diumumkan selepas pemfailan,” kata peguam itu ketika sidang media selepas tamat prosiding tersebut.

Pada 10 Oktober lalu, Penga­rah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin memaklumkan, pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mohd. Shuhaily dilapor berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, seramai 58 individu ditahan mengikut Sosma termasuk 16 orang yang juga pengurusan tertinggi GISBH.

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa sya­rat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula awal September, sejumlah 415 individu terma­suk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis. – UTUSAN

Ulasan