Duta Enclave: Kerajaan tidak setuju pampasan lumayan
ANWAR Ibrahim ketika menjelaskan isu Duta Enclave pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, semalam.
Oleh ARIF AIMAN ASROL dan HAFIZ SAIDINA
30 Oktober 2024, 6:40 am
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bersetuju untuk memberi pampasan lumayan kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. berkaitan isu 106.542 hektar tanah di Jalan Duta dikenali Duta Enclave.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penawaran jumlah pampasan oleh kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu Duta Enclave adalah tidak munasabah, keterlaluan dan terlalu tinggi.
Menurut beliau, pemberian pampasan lumayan itu secara tidak langsung akan menetapkan precedent kepada kes-kes lain.
“Banyak tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang diambil, walaupun teknikalnya dari segi legal itu berbeza tetapi diambil dan kemudian dipindah menjadi komersial. Apakah keadaan mereka? Jadi, kita jangan ada dwi standard.
“Dalam hal ini, kita bagi satu pampasan sangat lumayan. Padahal ratusan ribu hektar tanah (sedang diteliti). Macam di Pulau Pinang, banyak kalangan yang sedang meneliti apa kita lakukan.
“(Ini) kerana banyak tanah sawah dahulu diambil harga RM2,000 seekar, kemudian dua minggu seterusnya Exco buat keputusan tukar (dari) industri ke komersial dengan harga meningkat,” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya apa langkah kerajaan untuk menyelesaikan isu Duta Enclave.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan sejumlah pampasan kepada syarikat hartanah berkaitan.
“Kerajaan pada masa itu sudah meluluskan RM5 bilion kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada masa itu berunding dan menyelesaikan perkara ini. Daripada RM1.4 juta pergi kepada RM5 bilion tetapi proses perundingan itu belum berjaya.
“(Ini) menunjukkan tuan tanah meminta lebih daripada itu satu penilaian dibuat, nilainya lebih RM3.1 bilion tetapi tidak diterima syarikat ini, kita tawar RM5 bilion pun tidak boleh,” beritahunya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pimpinan negara atau jemaah menteri perlu waras dalam hal ini bagi mencari penyelesaian.
Beliau berkata, rundingan bersama syarikat hartanah tersebut sudah diteruskan diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Jika kita serah (dengan) mudah seperti mana yang pernah diputuskan oleh jemaah menteri yang lalu. Saya tidak fikir ia akan menyelesaikan masalah, kita harus tegas prinsipnya kalau diambil untuk tujuan awam.
“Sekarang ini, sehingga hari ini, satu inci pun tidak diambil, dibangunkan untuk bangunan swasta atau komersial. Semuanya bangunan kerajaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti untuk meminda undang-undang supaya hak negara dan kepentingan awam dipertahankan serta terus terpelihara.
Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos lalu mengarahkan kerajaan menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate yang merupakan pemilik asal lokasi itu.
Hakim Datuk Ahamad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan agar penyerahan itu dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula tarikh berkenaan tanpa sebarang halangan dan liabiliti dan mendaftarkan Semantan sebagai tuan punya tanah terbabit.
Perintah tersebut dikeluarkan mahkamah selepas menolak permohonan kerajaan yang diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Shamsul Bolhassan untuk menggantung prosiding itu selama tiga bulan bagi membolehkan perbincangan mengenai ganti rugi tanah tersebut dimuktamadkan.
Semantan menganggarkan hasil perantaraan yang wajar diterima bagi tempoh 1957 hingga 2021 adalah di antara RM3.1 bilion dan RM13.242 bilion beserta faedah.
Bagaimanapun, kerajaan melalui penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mempertikaikan jumlah tersebut dan menyatakan Semantan hanya layak menerima ganti rugi sebanyak RM290 juta. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan