Fahaman liberal ancaman terhadap Islam


Fahaman liberal ancaman terhadap Islam
October 23, 2024

Dr. Abd Ghani Ahmad

KUALA LUMPUR: Peningkatan fahaman liberal yang dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia amat membimbangkan.

Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, meskipun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun fahaman yang menafsir agama berdasarkan rasional akal semakin berleluasa, sehingga menggugat kedudukan Islam.

“Sekarang ini aliran pemikiran menggunakan rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita.

“Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas di pelbagai posisi di kalangan masyarakat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa isu yang dianggap kritikal, termasuk penyebaran fahaman Islam liberal yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama dan benar.

“Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul,” katanya.

Kata Abd Ghani, fahaman liberal yang ditularkan dalam pemikiran umat Islam di negara ini juga termasuk isu sambutan Kongsi-Raya di mana perayaan agama disambut secara bersama oleh penganut agama yang berbeza.

“Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulama pada 13 Jun 2006 di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup,” katanya.

Beliau turut membangkitkan beberapa isu antaranya kebebasan murtad bagi umat Islam, seruan untuk menafsir semula ayat-ayat al-Quran mengikut perkembangan zaman, mempertikai syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional serta menolak penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama.

Beliau dalam sesi perbahasan meminta kerajaan menyatakan langkah yang telah diambil bagi menangani penyebaran fahaman liberal, seperti kenyataan Siti Kasim yang secara terbuka menghina Islam dan meminta agar institusi tahfiz diharamkan.

Abd Ghani juga bertanyakan adakah JAKIM mempunyai program khas untuk memulihkan golongan yang berfahaman liberal sebagaimana program pemulihan aqidah yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada ahli GISBH sekarang ini. – HARAKAHDAILY 23/10/2024

Ulasan