HKL perlu RM100 juta



Hospital Kuala Lumpur (HKL) memerlukan dana RM100 juta bagi meningkatkan pelbagai kemudahan perkhidmatannya.
Oleh HAFIZ SAIDINA
9 Oktober 2024, 7:00 am

PETALING JAYA: Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibina sejak 1870-an, memerlukan ham­pir RM100 juta bagi menggantikan peralatan perubatan yang telah tamat tempoh atau usang.

Pengarah HKL, Datuk Dr. Ha­rikrishna K. R. Nair berkata, ini bagi memastikan kelengkapan dan peralatan perubatan berada dalam keadaan baik, sempurna serta selamat digunakan bagi memenuhi ke­perluan pesakit demi penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Menurut beliau, sebagai sebuah hospital utama di negara ini, HKL perlu melakukan peman­tauan kualiti peralatan perubatan secara berkala supaya ia tidak menjejaskan keberkesanan proses rawatan.

“Anggaran kos bagi mengganti peralatan perubatan yang te­lah luput tempoh penggunaannya adalah mencecah sehingga RM100 juta.

“Peralatan perubatan yang telah luput tempoh dan boleh dilupus akan dicatat untuk permohonan penggantian peralatan perubatan baharu berdasarkan Tatacara Pengurusan dan Perolehan Aset Kerajaan,” kepada Utusan Malaysia.DR. HARIKRISHNA K.R. NAIR

Antara peralatan perubatan yang sudah boleh dilupuskan adalah sistem pembedahan robotik, ripple mattress, pam penyedut (aspirator), pam volumetric, mesin ECG, spot vital sign (NIBP), syringe infusion pump, infusion pump, defibrillator, dan blood gas analyzer.


Setiap alatan tersebut memainkan peranan penting dalam rawatan pesakit di hospital se­perti sistem pembedahan robotik, membantu pakar bedah menjalankan pembedahan dengan lebih tepat manakala Ripple Mattress digunakan untuk mencegah luka tekanan bagi pesakit yang terlantar lama.

ADVERTISING


Suction Pump pula penting untuk menyedut cecair yang menyumbat saluran pernafasan pesakit dan Volumetric Pump serta Infusion Pump digunakan untuk mengawal pemberian ubat secara intravena dengan tepat.

ECG Machine digunakan bagi mengesan aktiviti elektrik jantung manakala Spot Vital Sign memantau tanda vital seperti tekanan darah.

Defibrillator pula menye­lamatkan nyawa dengan memulihkan degupan jantung dan Blood Gas Analyzer menilai keseimbangan gas serta asid-basa dalam tubuh pesakit.

Kesemua peralatan tersebut sering digunakan di unit-unit kritikal seperti Unit Rawatan Rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik pembedahan bagi memastikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kementerian Ke­sihatan menganggarkan ker­ja menaik taraf wad yang dilengkapi sistem pendingin hawa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menelan belanja kira-kira RM200 juta dan dijadual dimulakan tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerja menaik taraf tersebut untuk memberi ke­selesaan kepada pesakit dan juga petugas di hospital yang dibina sejak 1870-an dan menjadi rujukan utama rakyat.

Menurut beliau, KKM berhasrat memasang sistem pendingin hawa di wad sedia ada dengan pemasangan akan didahului dengan kerja mekanikal dan elektrikal agar dapat menampung pemasangan pendi­ngin hawa.

“Dalam masa sama, kerja pemasangan kipas dan memperbanyakkan bukaan tingkap akan dibuat bagi memastikan pengudaraan di wad lebih efisien untuk keselesaan pesakit dan petugas kesihatan,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Harikrishna berkata, HKL akan terus menjalankan inovasi dalam sistem dan peralatan perubatan untuk memenuhi ke­perluan semasa.

“HKL kini menggunakan teknologi robotik dalam kaedah rawatan dan pembedahan invasif, meningkatkan ketepatan dan mengurangkan komplikasi.

“Inisiatif ini setaraf dengan sistem perubatan antarabangsa dan mampu memberikan penjagaan pesakit yang lebih berkesan, selamat dan berorientasikan pesakit,” katanya.

Tambahnya lagi, HKL kini dalam proses pendigitalan untuk meningkatkan kualiti per­khidmatan kesihatan, kecekapan rawatan, dan penggunaan teknologi terkini.

Menurut beliau, agenda ini dilihat penting untuk menjadikan HKL sebagai institusi rujukan kesihatan negara yang setaraf dengan pusat-pusat kesihatan antarabangsa.

“HKL juga sedang berusaha mendapatkan Hospital Information System (HIS) iaitu sistem pengurusan rekod pesakit secara digital yang akan memastikan rawatan lebih sistematik dan efektif dengan data pesakit yang dapat diakses secara cepat dan selamat oleh kakitangan perubatan.

“Selain itu, HKL turut menjalin kolaborasi strategik dengan universiti tempatan dan pusat penyelidikan bagi mempercepatkan pembangunan sistem dan teknologi perubatan yang memenuhi keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN

Ulasan