Hutang isi rumah RM1.57 trilion



Hutang isi rumah RM1.57 trilion
ANWAR IBRAHIM
Oleh FITRI NIZAM
30 Oktober 2024, 7:00 am

PETALING JAYA: Hutang isi rumah Malaysia meningkat daripada RM1.53 trilion pada 2023 kepada RM1.57 trilion setakat Jun tahun ini. Jumlah itu bersamaan dengan 83.8 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pembiayaan terbesar membabitkan pinjaman perumahan merangkumi 61 peratus, diikuti pinjaman kenderaan (13.5 peratus), pembiayaan peribadi (12.4 pe­ratus) dan pinjaman lain seperti pembe­lian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah lama me­ngam­bil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan tinggi itu bagi memastikan ia tidak menjejaskan daya tahan kewa­ngan isi rumah serta kestabilan sistem kewa­ngan negara.

Katanya, sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012.

“Dasar ini memastikan individu meminjam mengikut kemampuan, membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak beban hutang berlebihan.

“Hasilnya, sektor isi rumah meminjam mengikut kemampuan dengan nisbah khidmat hutang (DSR) kekal pada paras berhemat.

“Pada akhir Jun 2024, median DSR pinjaman terkumpul ialah 35 peratus, manakala median DSR bagi pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus,” katanya menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah kedua diambil kerajaan dan BNM adalah meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik.

Katanya, satu inisiatif utama ialah Bulan Literasi Kewangan (FLM) yang diadakan setiap tahun pada Oktober.

“Aktiviti FLM termasuk pameran, ceramah, wawancara dan kempen kesedaran di media sosial,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan ditetapkan.

Katanya, standard kehematan dan garis panduan itu adalah yang berkaitan bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim BNPL dan mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan pemimpin pembangkang untuk tidak melontarkan pandangan secara sembrono dalam media sosial sebaliknya meneliti fakta terlebih dahulu.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa kontrak bekalan makanan tentera diberikan ‘tanpa mengikut tatakelola’, seperti yang dinyatakan oleh Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 semalam, Zawawi mendakwa, syarikat milik Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) memperoleh kontrak itu kerana menyokong Anwar.

“Seperti mana saya dengar ucapan Pasir Puteh sebelum ini (yang mengatakan) bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D’saji dan kepada Bukit Gantang.

“Tidak benar sama sekali. Saya yang sign, saya tahu. (Apabila ditanya) dengar daripada mana, (dia kata) dengar daripada TikTok (dan) Whatsapp, ini belajar mana ini? Tidak merujuk fakta,” kata­nya.

Beliau turut menggesa pemimpin-pemimpin pembangkang memberi cadangan yang baik kepada kerajaan dalam usaha membantu rakyat terutama golongan miskin.

“Jadi saya harap, kalau ada cadangan, bagi cadangan tetapi jangan bagi cadangan bahawa kita tidak boleh cukai orang kaya. Ini saya rasa satu perkara yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita hendak tegakkan pengagihan kekayaan secara adil,” katanya. – UTUSAN

Ulasan