Janji bina sekolah tapi tidak buat


Janji bina sekolah tapi tidak buat
DR. Sathia Prakash Nadarajan
Oleh OMAR ZIN
28 Oktober 2024, 8:00 am


MUKADIMAH

SUDAH bertahun-tahun penduduk komuniti India menunggu sebuah sekolah rendah Tamil dibina di Serendah, Hulu Selangor, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur.
Tanah sudah ada, asas sudah dibuat. Saban tahun, tidak nampak tanda-tanda sekolah ini akan siap. Setiap kali musim kempen pilihan raya, setiap kali itu ada yang berjanji akan membina sekolah ini. Namun, sehingga ke hari, sekolah ini tidak dibina.
Ikuti temubual Utusan Malaysia bersama Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN, mengapa sekolah ini tidak dibina sehingga ke hari ini walaupun telah dijanjikan sebelum ini.

MENGAPA SEKOLAH iNI MASIH BELUM DIBINA?

SATHIA: Kalau tengok isu sekolah rendah Tamil di Serendah ini, ini waktu dulu. Lama-lama dulu mereka dah buat, foundation dah buat. Hampir dua ekar tanah. Sampai hari ini banyak (ahli politik) yang kata janji buat, janji buat.

Banyak faktor yang kita perlu fikirkan. Kalau dua ekar, dia takkan jatuh di bawah sekolah tanggungan penuh kerajaan, ia hanya di bawah sekolah separa tanggungan. Bagi saya, kalau sekolah Tamil dibina, ia perlu dibina dengan sekolah tanggungan penuh. Jadi, kita tidak ada risiko. Kerajaan akan tolong dan kita akan buat yang terbaik.

Kemudian banci yang dibuat dulu (di Serendah) itu sudah lama sangat, sekarang dah ada infrastruktur yang lebih elok. Daripada kawasan mereka buat itu, kita ada jalan pintas, boleh pergi ke sekolah Tamil di Sungai Choh, ada yang pergi sekolah Tamil di Rawang.

BERAPA BANYAK SEKOLAH DI HULU SELANGOR?

Di Hulu Selangor, ada sembilan sekolah Tamil. Daripada sembilan sekolah Tamil, ada satu sekolah yang ada dua pelajar sahaja, jadi takkan nak bina satu sekolah yang takkan beri manfaat kepada kita dan komuniti India, hanya kerana telah dijanjikan. Kita tidak boleh buat keputusan begitu. Kawasan yang mereka buat foundation itu no input, no output, tidak ada saluran air, elektrik, tidak ada apa-apa, dibuat hanya untuk setakat nama sahaja, tapi ada orang main isu ini, orang kata mesti kerajaan buat.

Jadi, ini yang janji-janji kosong yang banyak tidak ditunaikan, orang mainkan balik isu ini, jadi janji tidak buat, janji tidak buat, padahal saya punya sosial media pun, video yang saya bagi penerangan pasal sekolah itu pun, mereka potong, mereka kata, doktor janji bina sekolah tapi tidak buat, sampai jadi viral. Saya terpaksa berhenti dan terangkan sepenuhnya apa yang saya cakap.


MASIH RELEVAN UNTUK BINA SEKOLAH INI?
Saya terus terang, saya takkan janji. Kita kena buat banci dan kajian dulu sebelum buat apa-apa projek dan janji. Takkan pergi sana, terus kata saya akan bina sekolah. Kita kena tengok berapa kepadatan penduduk, berapa banyak budak India akan datang.

Secara jujurlah, sekolah Cina di sana 35 hingga 40 peratus yang belajar sana adalah pelajar India dan Melayu. Ibu bapa gembira. Boleh tidak suruh mereka pindah? Bila saya bincang balik dengan mereka, mereka kata anak saya tahu Tamil, Cina, Melayu dan Inggeris. Manfaat kepada mereka juga.

Kalau tanya saya, lebih baik adakan satu sekolah kebangsaan. Ada Cina dan Tamil, semua orang belajar lagi banyak bahasa. Ini yang kita kena kukuhkan, tapi orang kena faham dengan sifat terbuka.

ADAKAH SEKOLAH INI MASIH BOLEH DIBINA?
Bila saya buat kajian sepenuhnya, lesen ini semua (bina sekolah) sudah lupus. Tapi orang masih goreng, masih cerita tidak ada sekolah, tidak ada sekolah, tidak ada sekolah.

Kalau saya buat kajian, sebetulnya 15 tahun dulu mereka dah buat banci yang memerlukannya. Tapi sekarang ada infrastruktur yang lain boleh disambung kepada sekolah lain yang berdekatan, yang sangat dekat.

Kerajaan pusat dulu dah janji nak buat sampai mereka dah belanja RM500,000 hingga RM600,000 hanya nak buat foundation, lepas itu tidak ada apa-apa lagi. Jadi, masa pilihan raya kecil ke, pilihan raya umum ke, propaganda ini akan digunakan.

Padahal tanah itu pun bukan di bawah kerajaan, yang pegang itu individu. Jadi, apa guna kita buat macam itu.DR. Sathia Prakash Nadarajan ketika merasmikan Pertandingan Pidato dan Bercerita di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kerling bersama-sama sembilan buah sekolah Tamil di Hulu Selangor.

ADAKAH INI HANYA BERLAKU DI HULU SELANGOR?
Bukan sahaja di Hulu Selangor, banyak sekolah-sekolah Tamil dan isu yang sama. Jadi, apa yang saya rasa saya perlu tekankan, komuniti India betul-betul perlu hantar anak pada sekolah Tamil, kalau betul-betul nak kekalkan.

Kedua, tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya bila tidak ada sekolah, mereka nak masukkan sekolah Melayu atau sekolah Cina. Tidak boleh suruh mereka tiba-tiba masuk sekolah Tamil. Jadi, kita kena ada infrastruktur daripada darjah satu baru mereka siap, senang untuk mereka bergerak.



Mereka dah belajar sampai darjah empat lepas itu suruh mereka tukar sekolah tidak sesuai juga. Jadi, kita perlukan sistem yang sesuai.

BINA SEKOLAH UNTUK KEPERLUAN RAKYAT ATAU SOKONGAN POLITIK?
Bagi saya, saya rasa budaya, kita punya tradisi semua kena kekal. Tidak kisah Melayu, Cina atau India. Jadi, saya selalu kekalkan tradisi, ini kena kekal. Walaupun kita semua rakyat Malaysia, kita ada tradisi sendiri, tradisi yang kita belajar.

Kita punya tamadun, kita belajar benda sama. Jadi, kita mesti teruskan, tradisi mesti diteruskan.

Tapi dengan cara yang betul, bukan dengan janji yang kosong. Katalah saya akan pilih bina sekolah itu, padahal semua (ahli politik) yang pergi sana, semua dia janji.

Kalau tengok balik isu sekolah Serendah itu, boleh tengok sepenuhnya semua ahli politik yang pergi sana, semua janji.

Saya tidak tahu apakah saya seorang sahaja yang boleh terus terang. Kalau kamu rasa saya nak raih undi dan janji, minta maaflah saya takkan janji.

Kalau tengok manifesto saya dulu pun saya tidak janji apa-apa, tidak ada janji kosong. Kita kena belajar dulu, buat kajian dulu, perlu atau tidak perlu. Kalau nak buat pun, kita boleh bina tapi dengan lima setengah ekar untuk sekolah tanggungan sepenuh kerajaan.

Jadi, kita takkan ada masalah langsung. Semua institusi pendidikan perlu dibuat dengan cara yang betul. – UTUSAN

Ulasan